PERSAINGAN merebut gelaran Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan bagi Anugerah Sukan Negara (ASN) 2024 dijangka sengit dengan lima atlet lelaki dan wanita disenarai pendek berdasarkan prestasi cemerlang di pentas antarabangsa tahun lalu.
Mampukah jaguh badminton negara, Lee Zii Jia melakar sejarah peribadi sekali gus menerima cabaran hebat daripada beregu sensasi Aaron Chia-Soh Wooi Yik, pendekar silat Abdul Latif Maxzakir, jaguh wushu Wong Weng Soon dan ‘wira besi’ angkat berat Mohd Aniq Kasdan.

Lee Zii Jia melakar sejarah peribadi sekali gus menerima cabaran hebat daripada beregu sensasi Aaron Chia-Soh Wooi Yik
Bagi kategori wanita, bintang boling tenpin, Sin Li Jane pula perlu bersaing rapat dengan ratu berbasikal pecut Nurul Izzah Izzati, selain Tan Cheong Min (wushu), juara dunia Nor Farah Ain Abdullah (lawn bowls) dan Nor Farah Mazlan (silat) untuk dinobatkan atlet terbaik negara.
Majlis Sukan Negara (MSN) dalam kenyataan media yang diedarkan berakta, kategori Olahragawan Paralimpik tidak kurang hebat apabila menyaksikan juara dunia powerlifting Bonnie Bunyau Gustin mengetuai senarai pencalonan, diikuti Datuk Abdul Latif Romly dan Muhammad Ziyad Zolkefli – dua ikon para olahraga yang tidak asing dalam kancah antarabangsa.

Bonnie berjaya meraih gelaran Olahragawan Paralimpik Kebangsaan 2023.
Lima atlet wanita turut mencuri tumpuan bagi kategori Olahragawati Paralimpik termasuk Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais dan Nur Suraiya Muhamad Zamri (para berbasikal), selain Noor Askuzaimey Mat Salim (boccia), Hasmunirah Malik (lawn bowls) dan Noor Imanina Idris (para olahraga).
ASN 2024 menerima 148 pencalonan meliputi 11 kategori daripada persatuan sukan kebangsaan, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), dengan penilaian rapi dibuat Jawatankuasa Pemilihan diketuai Ketua Setiausaha KBS, Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu.
Majlis penuh berprestij itu bakal berlangsung esok (13 Me) di Hotel Dorsett Grand, Subang Jaya dengan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, manakala setiap pemenang utama bakal membawa pulang piala, sijil dan ganjaran wang tunai RM20,000.