Cahya Mata Sarawak Berhad (Cahya Mata) terus memperkukuh penglibatan dalam arena sukan negara apabila melancarkan pasukan berbasikal trek wanita profesional Team Cahya Mata serta kejohanan bola sepak komuniti, Piala Cahya Mata 2026.
Pelancaran dua inisiatif tersebut diumumkan di Kuala Lumpur menerusi anak syarikat milik penuh mereka, Cahya Mata Cement Sdn Bhd sebagai sebahagian daripada usaha memperkasakan pembangunan belia dan komuniti melalui sukan.
Team Cahya Mata bakal dibarisi empat pelumba trek wanita negara iaitu Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, Aliana Azizan, Anis Rosidi dan Amber Yong.
Nurul Izzah yang kini menghuni ranking ke-14 dunia dan merupakan pemenang dua pingat emas Kejohanan Asia dijangka menjadi tonggak utama pasukan berkenaan dalam menghadapi pelbagai kejohanan antarabangsa menuju 2028 Summer Olympics.
Selain berbasikal, Cahya Mata turut memperluaskan penganjuran kejohanan bola sepak komuniti menerusi Piala Cahya Mata 2026 yang akan berlangsung dari Julai hingga November depan melibatkan kesemua 13 negeri dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Kejohanan itu dibuka kepada pemain lelaki bukan profesional berusia antara 16 hingga 35 tahun dengan setiap pasukan turut dibenarkan mendaftarkan maksimum lima pemain berusia lebih 35 tahun sebagai usaha memupuk elemen bimbingan dan perkongsian pengalaman.
Format liga akan digunakan di peringkat negeri sebelum juara setiap negeri mara ke pusingan kalah mati dan seterusnya beraksi pada Grand Final di Kuching.
Sebanyak lebih RM700,000 hadiah wang tunai ditawarkan sepanjang kejohanan dengan juara kebangsaan bakal membawa pulang RM100,000 manakala juara negeri menerima RM20,000.
Penganjur menjangkakan kira-kira 11,200 pemain dan pegawai pasukan akan terlibat dalam kejohanan tersebut yang turut membuka penyertaan tanpa sebarang yuran pendaftaran.
Pengarah Urusan Kumpulan Cahya Mata, Dato Sri Sulaiman Abdul Rahman Taib berkata kejohanan itu bukan sekadar mengenai bola sepak, sebaliknya menjadi platform membentuk gaya hidup sihat dan bebas dadah dalam kalangan belia selain mengeratkan hubungan komuniti di seluruh negara.