NATASHA Mohamed Roslan enggan kemasyhuran terhenti semalam, dengan menyasarkan satu lagi kejayaan di Kowloon, Hong Kong.
Muncul juara dunia single wanita, Natasha selepas mempamerkan hayunan bertenaga pada Kejohanan Boling Piala Dunia 2025 semalam, menyemarakkan semangat untuk menambah gelaran di kejohanan itu.
Atlet berusia 29 itu meraih pingat emas selepas menewaskan wakil Jerman, Birgit Noreiks 2-0 (217-166, 226-169) di final.
Dua tahun lalu, Natasha muncul juara Kejohanan Dunia di Kuwait, mengakui masih dahagakan lebih banyak kejayaan.

Natasha Mohamed Roslan akan bersama pasukan wanita, memburu satu lagi pingat emas di Kejohanan Boling Piala Dunia IBF 2025.
“Sejujurnya, saya masih rasa tidak percaya untuk mencipta sejarah sebagai wanita pertama Malaysia yang memenangi Piala Dunia adalah sesuatu yang sangat menggembirakan.
“Saya percaya ada lebih banyak lagi dalam diri saya, saya ingin meraih lebih banyak kejayaan untuk negara saya.
“Namun ia satu permulaan yang baik untuk tahun baru ini,” katanya.

Natasha Mohamed Roslan (kiri), memenangi pingat emas acara single wanita bergambar bersama Muhammad Rafiq Ismail yang muncul naib juara single lelaki.
Sementara itu, pemain boling lelaki negara, Muhammad Rafiq Ismail muncul naib juara kejohanan itu selepas tewas kepada Du Jian Chao dari China.
Rafiq yang tewas 1-2 memberikan tentangan sengit.