FOTO : Daniel Kincaid

TANPA ada tajaan mana-mana pihak, seorang penyokong ekor Harimau Malaya yang terkenal imej berkain pelikat ini melakukan kerja ‘gila’ apabila sanggup berhabis wang dan tenaga untuk penjelajahan solo ke bumi Qatar awal tahun hadapan.

Mohd Nur Daniel Roslan, anak muda berusia 28 tahun itu turut menempah awal tiket kapal terbang semata-mata bagi menyemarakkan sokongan pasukan Malaysia yang bakal beraksi di pusingan akhir Piala Asia 2024.

Menurutnya, segala perancangan dilakukan secara teliti dan perkara mustahak serta pengembaraannya nanti mendapat sokonan padu daripada isteri dan keluarga tercinta serta mendapat pelepasan cuti daripada majikan.

Kongsinya, perjalanan bakal bermula di Kuala Lumpur – Sri Lanka, Colombo sebelum terus menuju ke Doha, Qatar melalui Sri Lanka Airline.

“Ini kali pertama saya ke Doha tapi saya ada kawan-kawan yang menetap di sana. Saya banyak tanya mereka tentang perkara yang ada kat sana. Isteri dan keluarga memang sentiasa support saya asalkan tak buat benda bukan-bukan jer,” katanya kepada FLASH SUKAN.

May be an image of bedroom and text that says "19:36 87% ibis Doha 8.2 +29 Price for nights, adult MYR 2,910 Includes taxes and charges Check-in Fri 19 Jan Check-out Fri Jan Rooms and guests 1 room, 1 adult, 0 children Select rooms"

Keterujaan Daniel menyaksikan temasya empat tahun kali terserlah selepas memuatnaik beberapa keping gambar tarikh penerbangan serta melakukan survey jenis dan harga hotel penginapan di Qatar.

Ketika ditanya, kenapa sanggup beli tiket awal sedangkan pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan syarikat penerbangan negara belum lagi mengumumkan mekanisme kepada para penyokong, ini jawapan Dani.

“Bak kata orang Kedah awai tak kalut, lambat kelam-kabut. Seperti mana kita semua tahu harga flight sentiasa berubah ditambah hari-hari lagi nak dekat tarikh flight kita lagi mahal.

“Jadi saya ambil inisiatif untuk beli flight sendiri tanpa tunggu mana-mana pihak untuk buat trip ke Qatar nanti.

“Macam saya dah belanja tiket flight dalam RM3,400. Manakala, RM1,400 untuk hotel selama tujuh hari. Tiket bola bagi saksikan dua perlawanan berharga RM70.

“Yang lain-lain untuk duit belanja serta kecemasan. Kiranya anggaran kasar dekat RM6,000,” ujarnya mengalu-alukan ramai lagi penyokong lain bersama-sama memeriahkan suasana.

Tambah bapa kepada empat cahaya mata itu, dirinya pernah menonton perlawanan antarabangsa membabitkan aksi skuad kebangsaan dan peringkat kelab sebelum ini di luar negara.

“Kalau pi tengok bola oversea naik flight pernah pi Hanoi, Vietnam (final Piala AFF Suzuki 2018) dan pertandingan Piala AFC 2022 di Bali. Pengalaman bersorak untuk pasukan Kedah di Bali antara yang saya tak boleh lupakan sepanjang hidup,” ujarnya yang dilahirkan di Alor Setar.

Lumrah dalam kehidupan, bukan setiap perkara kita dapat memuaskan hati orang apatah lagi melakukan kerja tak masuk akal menyokong skuad Kim Pan-gon yang berjarak kira-kira hampir 6,000 kilometer.

Ada yang memuji tak kurang juga melemparkan senyuman sinis usaha murni dilakukan Daniel.

“Saya terima reaksi yang bercampur-campur. Ada yang bagi kata-kata semangat dan ada yang bagi jatuh semangat.

” Ia perkara biasa dalam scene bola sepa. Ini semua atas pada diri sendiri kita sahaja,” katanya yang turut serta ke Stadium Nasional Bukit Jalil bagi aksi final Pestabola Merdeka 2023 pada malam esok.

Penyokong tegar Sang Kenari juga menggesa peminat di tanah air tidak melepaskan peluang melihat barisan terbaik Harimau Malaya bermain di hadapan mata selepas layak secara merit ke pusingan akhir.

“Kepada sesiapa yang nak join sokong pasukan kebangsaan Malaysia nanti di Doha, Qatar untuk Piala Asia 2024, jom kita pergi sekali. Bila lagi nak dapat pengalaman lagu ni once in a lifetime orang kata,” ungkap Daniel sebelum mengakhiri perbualan.

Malaysia diletakkan dalam Kumpulan E bersama juara dua kali kejohanan, Korea Selatan serta akan menghadapi cabaran daripada Bahrain dan Jordan.