LEE Zii Jia menamatkan kemarau kejuaraan pada siri Jelajah Dunia (World Tour) dengan poket yang penuh, memenangi RM149,121 (AS$31,500), selepas mengungguli Terbuka Arctic di Vantaa, Finland.

Perjalanan pemain perseorangan profesional negara di Finland itu, dinoktahkan dengan kemenangan ke atas pemain kebangsaan, Ng Tze Yong, yang menyaksikan pertembungan dua wakil Malaysia pada final perseorangan lelaki.

Kemenangan 21-14, 21-15 di Arena Vantaa Energia itu, membuktikan kesabaran Zii Jia akhirnya membuahkan hasil, selepas kali terakhir memenangi gelaran Terbuka Thailand, Mei tahun lalu.

Pada Sukan Asia Hangzhou lalu, Zii Jia menyatakan entah berapa kali lagi dia akan tewas namun akan terus berusaha mencari detik kebangkitan, dan kejayaannya semalam diharap menjadi titik tolak permulaan perjalanan ke Paris 2024.

Mengalah Tze yong bukanlah sesuatu yang mudah, namun ketahanan Zii Jia baik dari segi mental dan fizikal nampaknya lebih baik.

Malah sebelum ke final, Zii Jia memaksa seorang lagi pemain negara, Leong Jun Hao, bermain hingga keletihan dan mengalami kecederaan sehingga menarik diri dengan keputusan 21-16, 19-21, 11-7 di suku akhir.

Pada aksi separuh akhir, pilihan ketiga kejohanan dari Denmark Anders Antonsen turut diasak sehingga mengalami kecederaan dan menarik diri daripada perlawanan sebelum Zii Jia diisytihar pemenang dengan keputusan 21-17, 13-8.

Kali terakhir pertemuan final dua pemain negara di kejohanan Jelajah Dunia berlaku pada tujuh tahun lalu, apabila Datuk Lee Chong Wei dan Iskandar Zulkarnain berentap di Grand Prix Emas Malaysia Masters 2016.