Select Page

EKSKLUSIF: “Malaysia boleh ikut jejak langkah Maghribi”

EKSKLUSIF: “Malaysia boleh ikut jejak langkah Maghribi”

EKSKLUSIF Oleh MOHD FARIQ

BEKAS pemain kebangsaan Maghribi, Merzagua Abderrazak percaya skuad Malaysia mampu mengikuti jejak langkah Singa Atlas dengan menjejaki ke pentas Piala Dunia suatu hari nanti.

Bagaimanapun, bekas pemain import Penang itu menggesa pasukan kendalian Kim Pan Gon harus lebih agresif dan tidak terlalu menghormati pasukan lawan terutama membabitkan skuad negara gergasi bola sepak dunia.

Ini kerana legenda bintang yang pernah mengharumkan nama Harimau Kumbang dan membawa pasukan menjuarai Liga Perdana I pada 1998, yakin ‘formula’ itu telah berkesan selepas menyaksikan kejayaan Maghribi layak ke separuh akhir Piala Dunia 2022 Qatar.

Merzagua dinobatkan pemain import terbaik Liga Malaysia pada tahun 1996, 1997 dan 1998.

“Saya ada mengikuti perkembangan pasukan Malaysia sejak di bawah jurulatih baharu (Pan Gon) dan saya percaya mereka ada kualiti untuk bermain di pentas Piala Dunia pada suatu hari nanti.

“Merujuk kejayaan pasukan Maghribi di Piala Dunia, ia sudah pasti menjadi satu suntikan moral terbaik kepada pasukan-pasukan kecil.

“Sebelum ini Malaysia mahupun Maghribi yang berstatus negara kecil, kita terlalu menghormati pasukan-pasukan besar yang menyebabkan permainan kita sedikit terjejas.

“Piala Dunia kali ini Maghribi telah membuktikan sesuatu di mana kita harus berani memiliki impian dan berani mengambil risiko.

“Jadi mesej ini kepada semua di mana dalam dunia bola sepak moden sekarang semua pasukan memiliki peluang yang sama tidak kira apa status mereka sebaik turun di atas padang,” katanya kepada FLASH SUKAN.

Rachid Benmahmoud bersama Ziyech, Hamdallah dan Aguerd yang kini giat fokus aksi separuh akhir Piala Dunia.

Merzagua turut berkongsi pengalamannya berada sepentas bersama Rachid Benmahmoud di posisi pemain tengah pada musim 1993 hingga 1994 dalam skuad kebangsaan Maghribi yang kini merupakan penolong jurulatih kepada Walid Reragui.

Sejak berada di bawah kendalian Walid Reragui, Maghribi telah melakarkan status sebagai ‘pembunuh’ pasukan gergasi.

Bermula di peringkat kumpulan, skuad yang menduduki ranking ke-22 Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) itu telah menyingkirkan Belgium dan mengikat Croatia untuk mengetuai Kumpulan F.

Singa Atlas merakam sejarah baharu layak ke separuh akhir menyingkirkan cabaran Portugal.

Singa Atlas kemudian mara ke separuh akhir selepas menewaskan Portugal hasil jaringan tunggal oleh Youssef En Nesyri menerusi tandukan pada minit ke-42.

“Pencapaian besar Benmahmoud untuk kemajuan Maghribi cukup mengagumkan dan berjaya menaikkan martabat bola sepak Afrika dan Maghribi sudah semestinya.

“Sekarang, tiada yang mustahil untuk dia membawa Maghribi terus menjulang sejarah lagi ke pentas final Piala Dunia,” katanya pernah merangkul hatrik Anugerah Pemain Import Liga Malaysia musim 1996, 1997 dan 1998.

Sementara pasukan Harimau Malaya bakal persiapan ke Piala Asia 2024 dengan mengharungi kempen Piala Mitshubishi Elektric AFF 2022 yang bakal berlangsung pada bulan ini.

Beberapa siri perlawanan persahabatan antarabangsa telah diatur bagi memantapkan pasukan. Terbaharu, Malaysia mendapat tonik positif selepas segar membelasah Kemboja 4-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jumaat.

 

Video Terkini

Loading...