DOYCE Lee lega, apabila berjaya bangkit dari ketinggalan dua set untuk menjuarai Kejohanan Remaja Antarabangsa Terbuka Kuala Lumpur ke-14 hari ini.

Dalam aksi yang berlangsung di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, pilihan utama wanita Bawah 17 Tahun (B-17) itu berdepan pilihan ¾ dari Hong Kong, Ena Kwong.

Doyce kelihatan terlalu tenang dalam dua set pertama tewas 8-11, 6-11, sebelum berjaya bangkit dengan kemenangan 11-9 dalm set ketiga, menjadikan keduduka 2-1.

Dalam set keempat, pemain dari Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) itu hampir tewas namun dia bernasib baik apabila pukulan terakhirnya mematikan bola dengan kemenangan 12-10, sekali gus mengheret aksi ke set penentuan yang dimenanginya 11-8.

Sebaik tamat permainan, Kwong tidak dapat menahan air mata kecewa kerana pada set keempat, dia memegang mata akhir 10-9, sebelum Doyce merampas kegembiraaannya.

Doyce bersama trofi dan hadiah kemenangan RM1,000.

“Set pertama dan kedua, saya tidak fokus dan selalu memberi mata kepada Kwong. Setiap kali saya cuba ambil mata, menjadi sebaliknya

“Set keempat, saya fokus 100 peratus kerana saya yakin dapat bangkit,” kata Doyce kelahiran Sabah, selepas tamat perlawanan.

Menurutnya, kejuaraan ini adalah yang keempat buatnya bagi tahun 2022.

Katanya, dia akan melakukan persiapan untuk ke Terbuka Remaja British yang bakal berlangsung 4 hingga 8 Januari depan.

Sementara itu, hasrat melihat seorang lagi pemain negara menjuarai B-19 tidak kesampaian apabila Whitney Isabelle Wilson tewas kepada pemain Hong Kong, Toby Tse Yee Lam 13-11, 3-11, 5-11, 7-11.

Andrik Lim (kiri) cuba mengembalikan pukulan dari Harith, Andrik tewas pada perlawanan akhir.

Dalam pada itu, kejutan berlaku dalam kategori lelaki B-19, apabila pilihan utama Andrik Lim tewas kepada rakan senegara, Harith Daniel Jefri, 8-11, 13-11, 6-11, 7-11.

Andrik dan Harith, kedua-duanya dari SSBJ adalah dua pesaing yang sentiasa merebut gelaran di kejohanan ini.

Pada edisi 2019, Harith muncul juara  B-15, pada edisi 2018, Andrik muncul naib juara kategori B-15 manakala Harith menjuarai B-13.