KOREA SELATAN muncul pasukan Asia ketiga layak ke peringkat 16 terbaik pada kempen Piala Dunia FIFA Qatar 2022 apabila akhirnya berjaya mencatat kemenangan sulung dalam peringkat Kumpulan H dalam aksi yang penuh dramatik.

Kejayaan membenam Portugal 2-1 itu juga menyaksikan Korea menyingkirkan Ghana dan mengecewakan Uruguay yang terpaksa akur turut tersingkir meskipun mencatat kemenangan 2-0 menentang Ghana.

Dengan Portugal yang sudah pun layak, tiga lagi pasukan dalam kumpulan ini masih mempunyai peluang yang terbuka dan hanya kemenangan mampu menjamin kemaraan mereka ke pusingan kalah mati.

 

Dua jaringan daripada Kim Young Gwon pada babak pertama dan Hwang Hee Chan pada minit ke-90 sudah cukup untuk memberikan tiga mata penuh kepada Korea Selatan sekaligus tempat ke pusingan kalah mati.

Tiga mata ini meletakkan Korea Selatan di tempat kedua dengan empat mata manakala Uruguay terpaksa berpuas hati di tangga ketiga, hanya dibezakan dengan perbezaan jaringan dan tersingkir dari pertandingan.

Korea Selatan bakal bertemu pemenang Kumpulan G, Brazil dalam pusingan kalah mati manakala Portugal akan bertemu sama ada Switzerland, Cameroon atau Serbia.