USAHA mengukuhkan jenama Sabah FC, diteruskan menerusi pelancaran “Bola In The City With Sabah FC – A Trip of Excitement” 2023 dengan kerjasama Tourism Malaysia dan lapan agensi pelancongan tempatan.

Pakej pelancongan sukan itu ditawar pada harga kompetitif RM330 seorang, berbanding RM699 untuk pakej sama ditawarkan pada musim pertama Oktober hingga Disember tahun lalu.

Elemen sukan dan pelancongan yang ditawarkan dalam pakej ini memberi peluang kepada peminat bola sepak terutamanya Sabah FC mendekati pasukan bimbingan Datuk Ong Kim Swee.


Ketua Pegawai Eksekutif Sabah FC, Ahmad Marzuki Nasir berkata, pelancaran produk pelancongan sukan terbabit selaras dengan usaha kelab merapatkan hubungan kelab dengan peminat.

“Kita mahu peminat mengalami sendiri pengalaman berada dekat dengan pasukan kerana kita sedar ramai peminat Sabah di Semenanjung Malaysia.

“Dengan adanya produk sebegini, mereka bukan hanya dapat mendekati pasukan, pemain dan mengenali legenda-legenda, malah mendapat manfaat melancong ke destinasi pelancongan yang ada di Sabah,” kata Marzuki pada majlis pelancaran Bola InThe City With Sabah FC yang berlangsung di Hotel Hilton, Kota Kinabalu.

Majlis itu dilancarkan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan.

Turut hadir Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara Tourism Malaysia, Iskandar Mirza Mohd Yusof.


Sementara itu, Iskandar berkata, pelancaran musim baharu pakej perlancongan sukan itu dibuat susulan kejayaan program jangka pendek projek terbabit tahun lalu, yang berjaya membawa pendapatan lebih RM30,000.

“Untuk tempoh tiga bulan tahun lepas (Oktober hingga Disember), kita berjaya meraih pulangan RM30,880 biarpun dalam tempoh singkat pelancaran pada Oktober.

“Projek tahun lalu itu memberikan impak yang baik meskipun tidak banyak pilihan destinasi pelancongan kita sediakan.

“Tahun ini, pejabat pelancongan kita di Sabah lebih agresif mendapatkan kerjasama lebih banyak konsortium malah turut melibatkan Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembara Malaysia (MATTA),” katanya.