PENGENDALI interim Penang FC, Manzoor Azwira Abdul Wahid memanjatkan rasa kesyukuran apabila skuad bimbingannya berjaya bangkit dari ketinggalan untuk mencatat kemenangan 2-1 keatas Kuching City FC dalam aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada Khamis.

Dia juga gembira dengan prestasi para pemain yang berjaya memecah blok permainan Kuching City bagi memastikan tiga mata penuh sekaligus kemenangan ketiga berturut-turut Harimau Kumbang dalam Liga Super.

Manzoor turut memuji sumbangan penyerang, Soony Saad yang dianggap sudah berjaya menyesuaikan diri dengan pasukan dan jaringannya pada setiap perlawanan dapat membantu Penang FC merakamkan kemenangan.

“Saya syukur dengan kemenangan ini kerana yang penting tiga mata dan kami telah berjanji untuk dapatkan mata maksimum dalam lima perlawanan sebelum rehat dan kami hanya kalah dengan Kedah Darul Aman di laman lawan.

“Gembira dengan prestasi pemain namun masih banyak yang kami perlu baiki kerana pasukan ini adalah pasukan baharu dan tiga mata ini adalah mata yang penting untuk kita dapat. Kami rasa tidak ok pada babak pertama dan syukur dapat jaringkan gol pada akhir babak pertama.

‘Soony boleh beri kelebihan pada pasukan jika sentiasa jaringkan gol. Dia nampak sesuai dengan pasukan dan membantu pasukan namun masih banyak perlawanan yang perlu ditempuh dengan selepas ini ada tiga perlawanan di tempat dan dua kali bertemu JDT,” katanya ketika sidang media selepas perlawanan.

Soony Saad

Manzoor juga mahu para penyokong untuk tidak membandingkan pasukan Penang FC dengan pasukan-pasukan gergasi lain yang dibarisi pemain tempatan dan naturalisasi sebaliknya meletakkan Harimau Kumbang sebaris pasukan PDRM, Kuching City, Kelantan dan Kelantan United dan dia gembira apabila berjaya meraih mata maksimum keatas pasukan-pasukan ini.

Dalam sidang media yang sama, Manzoor turut kesal dengan apa yang berlaku kepada dua tonggak utama Penang FC, Azmeer Aris dan Amer Azahar yang terlibat dalam kemalangan ketika hendak datang ke stadium sebelum perlawanan.

“Saya rasa bersalah apabila berlaku keadaan itu pada hari perlawanan. Sepatutnya salah seorang dari mereka akan turun pada hari perlawanan dan ini menggangu persiapan pasukan. Saya berharap kedua-dua pemain itu cepat sembuh namun kesan trauma akibat kemalangan itu yang membimbangkan saya,” tambahnya.