SKUAD Malaysian Young Tigress berjaya merebut tiket terakhir ke Piala Dunia Remaja Wanita 2025 selepas ‘menghentak’ Thailand 6-0 dalam perlawanan penentuan tempat kelima-keenam di Piala Remaja Asia yang berlangsung di Muscat, Oman, pada Ahad.

Kejayaan ini turut mencipta sejarah buat pasukan Hoki Remaja Wanita Malaysia apabila layak secara merit buat pertama kali dalam tempoh 35 tahun sejak kejohanan itu diperkenalkan pada tahun 1989.

Young Tigress menamatkan saingan Kumpulan A di tempat ketiga dengan mengumpul enam mata hasil dua kemenangan, masing-masing ke atas Bangladesh (6-1) dan Thailand (3-0). Namun, mereka mengalami dua kekalahan, tewas 0-5 kepada India dan 0-4 kepada China.

Kedudukan tersebut memaksa Malaysia beraksi dalam perlawanan penentuan klasifikasi tempat kelima hingga kelapan. Mereka berjaya melepasi cabaran pertama dengan kemenangan besar 11-0 ke atas Hong Kong semalam, sebelum mencatat keputusan membanggakan dengan menewaskan Thailand hari ini.

Kejohanan ini menawarkan lima slot untuk ke Piala Dunia Remaja Wanita 2025 di Chile.