SKUAD hoki lelaki negara tidak akan diletakkan di bawah tekanan untuk melakar kejayaan di Piala Asia, Ogos ini, apabila Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) mengesahkan tiada sasaran ditetapkan bagi merebut tiket automatik ke Piala Dunia menerusi kejohanan itu.

Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal menjelaskan, fokus utama kini terarah kepada pusingan kelayakan Piala Dunia yang dijangka berlangsung Februari atau Mac 2026, kerana menawarkan tujuh slot berbanding hanya satu menerusi Piala Asia.

“Dulu Asia Cup empat lima pasukan boleh layak, sekarang hanya satu saja. Jadi tak adil nak letak sasaran tinggi. Target kita adalah kelayakan Piala Dunia, bukan melalui Asia Cup,” katanya sambil mendedahkan Malaysia berminat menjadi tuan rumah kelayakan itu.

Sarjit Singh terus mendapat kepercayaan Datuk Seri Subahan.

Dalam sidang media di pejabat KHM itu, beliau menegaskan skuad negara tetap serius menyertai Piala Asia namun realistik terhadap cabaran pasukan gergasi seperti India, Pakistan dan Korea yang sentiasa menjadi duri dalam daging kepada kemaraan Malaysia.

“Saya yakin dengan pasukan kita. Di bawah kendalian Sarjit, kita boleh beri saingan. Tapi masalahnya kita masih gagal pertahankan kelebihan bila dah mendahului,” katanya merujuk aksi menentang New Zealand dan Jepun sebelum ini.

Subahan turut menyindir pemain senior yang dilihat gagal memainkan peranan sewajarnya, dan menegaskan bahawa kejayaan pasukan hanya mampu dicapai jika semua pemain muda atau berpengalaman bersatu dan faham apa maknanya untuk menang.

“Ini bukan soal jurulatih, tapi soal pemain. Ini World Cup level, bukan Sea Games. Kita akan bantu sebaik mungkin dan insya-Allah, peluang ke Piala Dunia tetap cerah,” katanya penuh yakin.

Nampaknya Sarjit akan terus “selamat” dari kritikan selepas Subahan “melindungi” jurulatih itu, apabila tidak membenarkan wartawan mengajukan sebarang soalan.