PEMAIN naturalisasi baharu negara, Endrick Dos Santos ternyata gembira apabila namanya tersenarai dalam 27 pemain yang dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan menjelang aksi perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Turkmenistan dan Hong Kong.
Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu juga sangat teruja dan sudah bersedia untuk membantu Harimau Malaya mencatat kemenangan jika diberikan peluang untuk beraksi oleh ketua jurulatih, Kim Pan-gon.
Dia yang ditemui FLASH SUKAN selepas membantu JDT menewaskan Selangor FC pada aksi Liga Super dilihat tenang dan sentiasa tersenyum apabila diajukan soalan tentang pemilihannya ke skuad kebangsaan.

Endrick Dos Santos
“Saya berasa sangat gembira dan pada masa yang sama teruja apabila mendapat tahu saya dipanggil mewakili Harimau Malaya dan ini adalah seperti mimpi menjadi kenyataan kerana dapat mewakili skuad kebangsaan buat kali pertama.
“Sudah pasti saya teruja namun saya sudah bersedia untuk membantu skuad kebangsaan mencipta kemenangan jika diberikan peluang beraksi dalam dua perlawanan persahabatan antarabangsa itu,” katanya.
Endrick yang mula hadir ke Malaysia pada 2018 menyertai Felcra FC sebelum menempa nama apabila menyertai Selangor pada 2019. Dia kemudiannya mewakili Penang FC dari 2020 hingga 2022 sebelum dinaturalisasikan oleh JDT untuk didaftarkan sebagai pemain tempatan menjelang musim 2023.
Sejak menyertai JDT, dia sudah melakukan empat penampilan dan berjaya menjaringkan tiga gol sekaligus berjaya menarik minat pengendali negara, Kim Pan-gon untuk menyertai skuad kebangsaan.
Dia dan kapten Kuala Lumpur City FC, Paulo Josue adalah antara dua pemain naturalisasi baharu yang dipanggil bagi membantu barisan serangan negara sebagai persiapan untuk menghadapi Kelayakan Piala Dunia pada Disember 2023 dan Piala Asia di Qatar pada Januari 2024.