KETUA Jurulatih dan Pengurus Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari menjangkakan satu aksi yang sukar apabila Harimau Selatan bakal melayan kunjungan Kuala Lumpur City FC dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Isnin.
Perlawanan yang boleh dianggap sebagai pra final Piala FA itu dijangka akan menampilkan aksi sengit antara kedua-dua pasukan yang masing-masing dalam keadaan yang terbaik selepas memenangi aksi separuh akhir keatas lawan masing-masing untuk ke final.
Solari juga mahu anak-anak buahnya berhati-hati dengan skuad Warga Kota kerana dia sedar pasukan KL City ketika ini bukan lagi seperti pasukan yang mereka tewaskan 3-0 pada pusingan pertama di Cheras pada Mac lalu.
“KL City bukan lagi pasukan yang sama ketika pusingan pertama. Mereka kini lebih kompak dan bekerja sebagai satu pasukan dan mereka tahu bagaimana untuk bermain permainan seperti ini seperti mana yang mereka lakukan ketika menewaskan Terengganu FC di Terengganu yang mana ianya bukan mudah.
“Mereka berada dalam keadaan terbaik ketika ini dan kami perlu bersedia untuk perlawanan yang sukar apabila bertemu pasukan seperti ini yang mempunyai jurulatih dan pemain yang berpengalaman terutama di bahagian serangan namun kami akan cuba bermain permainan kami,” katanya.
Bekas pembantu jurulatih skuad B-23 tahun Argentina itu juga mahu para pemainnya mengurangkan kesilapan-kesilapan kecil yang boleh mengundang padah dan berharap mereka dapat berikan para penyokong aksi terbaik.

Ketua Jurulatih dan Pengurus Johor Darul Ta’zim, Esteban Solari
“Saya tidak katakan KL City pasukan yang berbahaya tetapi kami perlu berhati-hati kerana mereka mempunyai pemain penyerang yang berkualiti dan tahu bagaimana mahu bertahan.
“Ianya tentang kesilapan kecil dan saya Beritahu para pemain supaya melihat kepada perkara ini dengan lebih teliti kerana perlawanan ini umpama pra final dan harap dapat berikan aksi yang baik untuk para penyokong,” tambahnya.
JDT dan KL City kembali dalam aksi Liga Super dengan Harimau Selatan sudah tentu mahu menggunakan kelebihan bermain di laman sendiri untuk mengutip tiga mata penuh dan mengukuhkan kedudukan di takhta liga manakala KL City akan cuba mencuri mata dan menjaringkan gol menerusi permainan terbuka dan serangan balas.