MASALAH kecergasan beberapa orang pemain sedikit menggangu persiapan Terengganu FC apabila bakal bertemu Sabah FC di Stadium Likas Kota Kinabalu dalam aksi Liga Super yang bersambung kembali selepas berehat hampir tiga minggu.

Namun begitu ianya sama sekali tidak menggusarkan ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner yang percaya barisan kejurulatihan mampu untuk mempersiapkan pasukan terbaik untuk aksi bertemu Skuad Badak.

Tomislav juga sedar bahawa bukan mudah untuk berhadapan Sabah di laman lawan memandangkan rekod bersih yang ada pada Sabah FC dan dia mahukan barisan pertahanan yang stabil dalam perlawanan ini.

“Kami bersedia seperti biasa dengan beberapa pemain mengalami kecederaan dan demam (Adisak dan Habib). Selain itu para pemain kebangsaan juga sudah kembali dalam pasukan dan saya percaya kami mampu membentuk satu skuad yang mantap dan mahu mencapai keputusan yang positif apabila menentang Sabah.

“Kami tahu kekuatan yang ada pada pasukan Sabah terutama di laman sendiri oleh itu sangat penting buat kami memastikan benteng dalam keadaan stabil dan dibantu barisan tengah untuk mengurangkan kesilapan individu.

“Untuk mendapatkan keputusan yang positif, kami perlu mengambil risiko dalam perlawanan, menyerang dengan lebih banyak pemain dengan transisi yang berkualiti,” katanya kepada FLASH SUKAN.

Skuad Penyu sangat memerlukan tiga mata penuh selepas tewas dalam dua perlawanan sebelum ini kepada Selangor dan Sri Pahang namun ianya bukan misi mudah berdepan Sabah yang mempunyai rekod bersih di laman sendiri.

Tiga mata bakal melonjakkan Terengganu ke tangga keenam dengan syarat Penang FC dan Kuala Lumpur City FC tidak mencatat kemenangan dalam perlawanan masing-masing.