PENGENDALI Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee meletakkan dua faktor mengapa pasukannya tidak dapat beraksi seperti biasa meskipun berjaya mengutip tiga mata penuh selepas menewaskan Perak FC 1-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Perak, Ipoh pada Ahad.
Kim Swee nyata lega kerana gol minit akhir Park Tae-su itu berjaya memberikan tiga mata berharga untuk skuad Badak yang cuba menamatkan saingan liga di tangga ketiga dengan menanti cabaran Kedah Darul Aman FC di Stadium Likas pada 17 Disember nanti.
“Ada dua faktor iaitu padang yang lembab menyukarkan corak permainan dan kedua pemain kepenatan selepas beraksi tiga perlawanan di tempat lawan. Jarak perjalanan yang jauh sangat memenatkan tetapi pemain menunjukkan sikap yang cukup positif serta semangat juang yang tinggi dan berjaya mendapatkan gol hingga minit terakhir dan ini penting untuk kita lalui perlawanan terakhir.

“Apa yang penting sekarang, semua pemain harus berehat sepenuhnya kerana sudah keluar dari Kota Kinabalu selama dua minggu dan ini menyukarkan pemain yang meninggalkan keluarga untuk tempoh yang lama terutama pemain yang mewakili pasukan kebangsaan.
“Perkara ini perlukan mentaliti yang positif dan para pemain buktikan mereka mampu jalankan tugas meskipun berada dalam keadaan yang cukup sukar,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Sabah FC kini dalam prestasi yang sangat baik dengan mencatatkan lima kemenangan berturut-turut dalam semua kejohanan sekali gus berjaya layak ke peringkat semi final zonal Asean Piala AFC.

Perlawanan terakhir Liga Super menentang Kedah bakal menjadi penentu sama ada Sabah mampu mengulangi pencapaian mengakhiri liga di tangga ketiga selepas Johor Darul Ta’zim dan Selangor FC mengesahkan kedudukan pertama dan kedua.