PENGANJURAN Piala Cheetah 2023 yang bakal bermula pada 9 Disember ini dilihat sebagai platform terbaik bagi mencungkil bakat baharu dan mencari pemain pelapis skuad The Bos Gaurus.
Dijenamakan semula dengan nama Piala Cheetah yang sebelum ini dikenali sebagai Piala Dato’ Seri Azim Zabidi, pertandingan ini melibatkan penyertaan pemain yang berumur 17 hingga 19 tahun.
Sebanyak 24 pasukan bakal berentap dan dibahagikan kepada tiga zon seluruh negeri Perak iaitu Zon Utara, Zon Tengah dan Zon Selatan.
“Perak FC telah berjaya mencungkil bakat-bakat muda menerusi kejohanan Piala Dato Seri Azim pada tahun 2022 dan bakat-bakat muda ini telah diserapkan ke dalam pasukan PFC II bawah umur 23.
“Kita mahu lakukan transformasi dan harap Perak FC akan tampil dengan lebih kuat musim hadapan.
“Semoga bola sepak ini dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi tempatan khususnya dalam sektor pelancongan.
“Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Kerajaan Negeri Perak dan penaja-penaja yang telah menyokong Perak FC,” menurut kenyataan itu.
Kejohanan akan berlangsung selama satu bulan dengan menawarkan hadiah sebanyak RM10,000 untuk juara, RM6,000 naib juara dan tempat ketiga RM4,000 serta keempat RM2,000, dan kesemua pemenang akan turut menerima piala dan pingat.
Para pemain akan dinilai oleh Mohd Shahril Nizam Khalil, Ketua Jurulatih Perak FC III dan Raja Azlan Shah Raja So’ib, Ketua Pembangunan & Pencarian Bakat (KPPB) Perak FC.
Matlamat utama penganjuran kejohanan adalah bagi mencari bakat baru untuk pasukan Perak FC III bawah 20 tahun (Piala Presiden) dan Perak FC IV bawah 18 tahun (Piala Belia) bagi musim 2024-2025 sambil memberi ruang dan platform untuk belia di negeri Perak bertanding.
Dengan adanya program pembangunan sebegini, harap dapat mencungkil lebih ramai bakat muda di negeri itu untuk membarisi pasukan Perak FC musim hadapan dan masa akan datang.