PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini menggantung keahlian Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) sebagai Ahli Gabungan FAM berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan ini dicapai selepas Jawatankuasa Eksekutif FAM secara majoriti bersetuju melalui keputusan bertulis terhadap cadangan tindakan yang dibentangkan.

Penggantungan ini dilaksanakan berdasarkan Artikel 17 Statut FAM yang memberikan kuasa kepada Jawatankuasa Eksekutif FAM untuk menggantung keahlian mana-mana ahli jika perlu.

Menurut FAM menerusi laman instagramnya, Keputusan tersebut berpunca daripada keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pertikaian Dalaman FAM mendapati Kongres KAFA kali ke-65 dan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif KAFA bagi sesi 2024-2028 adalah tidak sah.

Jawatankuasa Pertikaian Dalaman FAM, yang merupakan jawatankuasa adhoc ditubuhkan atas arahan Pesuruhjaya Sukan Malaysia, mendapati terdapat ahli gabungan yang tidak dibenarkan hadir dan tidak dijemput ke kongres tersebut.

Selain itu juga, tatacara pengendalian kongres juga didapati tidak mematuhi prosedur yang betul.

Keputusan ini turut dimaklumkan kepada Pesuruhjaya Sukan Malaysia sebagai langkah menyelesaikan isu yang melibatkan integriti KAFA.

Susulan itu, FAM telah mengarahkan KAFA untuk mengadakan semula kongres dan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif bagi sesi 2024-2028 secepat mungkin.

Tindakan ini sekali gus memberi mesej jelas kepada semua Ahli Gabungan FAM tentang kepentingan mematuhi prosedur serta menjaga integriti organisasi sukan di negara ini. 

Kelantan, yang terkenal dengan sejarah bola sepaknya, kini berdepan cabaran besar untuk mengembalikan kestabilan dan kepercayaan terhadap pengurusan KAFA.

Bagaimana KAFA mengendalikan arahan ini akan menjadi penentu kepada masa depan bola sepak Kelantan ?