JAWATANKUASA First Instance Body (FIB) di bawah Malaysian Football League (MFL) mengumumkan perkembangan terkini proses pelesenan kelab bagi kitaran 2025-2026 selepas tarikh akhir asal penyerahan dokumen berakhir pada 30 April lalu.
Menurut FIB, sebahagian kelab telah berjaya melengkapkan dan menyerahkan dokumen yang diperlukan, namun terdapat juga pasukan yang masih memerlukan lanjutan masa bagi memenuhi keperluan pelesenan yang ditetapkan.
Bagi kategori Lesen AFC dan Lesen Kebangsaan, tujuh kelab telah melengkapkan proses penyerahan dokumen iaitu Johor Darul Ta’zim FC, Selangor FC, Sabah FC, Terengganu FC, Penang FC, Kuching City FC dan Negeri Sembilan FC.
Sementara itu, beberapa kelab lain yang memohon Lesen Kebangsaan seperti Imigresen FC, Kuala Lumpur City FC, Melaka FC, PDRM FC dan Kelantan The Real Warriors FC masih dalam proses melengkapkan dokumentasi, dengan sebahagiannya telah memohon lanjutan masa.
Bagi permohonan Lesen Kebangsaan Luar Biasa (Extraordinary) untuk penyertaan AFL Liga A1, empat kelab telah mengemukakan permohonan iaitu Armed Forces FC, Bunga Raya FC, Kelantan Red Warrior FC dan UM Damansara United FC, dengan beberapa daripadanya turut memohon tempoh tambahan.
Sehubungan itu, FIB bersetuju menetapkan 14 Mei 2026 sebagai tarikh akhir baharu bagi semua kelab melengkapkan dokumentasi pelesenan masing-masing.
Dalam masa sama, FIB memaklumkan bahawa DPMM FC tidak tertakluk kepada keperluan Lesen Kebangsaan memandangkan statusnya sebagai pasukan jemputan dari Brunei Darussalam.
Mesyuarat FIB bagi menentukan keputusan pelesenan kini dijadualkan berlangsung pada 20 Mei 2026, manakala sebarang proses rayuan akan dikendalikan oleh Jawatankuasa Appeal Body (AB) pada 29 Mei 2026.
Selepas semua proses penilaian dan rayuan selesai, MFL akan mengemukakan senarai akhir kelab yang berjaya memperoleh Lesen AFC dan Lesen Kebangsaan kepada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) pada 31 Mei 2026.
FIB menegaskan bahawa semua permohonan akan dinilai secara telus dan berpandukan kriteria pelesenan yang ditetapkan, selain menghargai komitmen setiap kelab dalam memenuhi syarat yang ditetapkan demi memperkukuh struktur pengurusan serta pembangunan profesional bola sepak tempatan.