PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) tampil menjelaskan peletakan jawatan Datuk Mohd Joehari Ayub sebagai Presiden selepas enam bulan memimpin badan induk bola sepak negara itu. Pemangku Presiden, Datuk Wira Yusoff Mahadi menegaskan keputusan berkenaan dibuat atas faktor peribadi dan telah diterima dengan sebulat suara oleh Mesyuarat Exco pada Rabu lalu.

“Ini bukan soal takut keluarkan kenyataan. Jawapan tetap sama, kami menerima keputusan Datuk Joehari Ayub untuk meletakkan jawatan selaku Presiden FAM. Selepas seminggu, kami bawa ini ke Mesyuarat Exco dan seluruh ahli sebulat suara menerima keputusan tersebut,” katanya dalam sidang media di Wisma FAM, Jumaat.

Pengunduran Joehari bagaimanapun tetap mendapat perhatian ramai memandangkan beliau hanya sempat menerajui FAM sejak Februari lalu selepas dipilih tanpa tentangan. Walaupun tempoh perkhidmatannya singkat, FAM menegaskan sumbangan beliau tetap dihargai.

“Ini adalah keputusan peribadi Datuk Joehari. Kami di FAM berterima kasih kepada beliau atas komitmen sepanjang bersama dan mendoakan kejayaan beliau dalam apa jua bidang selepas ini. Kami pula mahu terus fokus pada masa depan bola sepak negara,” ujar Yusoff.

Buat masa ini, jawatan Presiden FAM akan dipangku Yusoff sehingga Kongres Pemilihan berlangsung tahun depan. FAM menegaskan keutamaan kini adalah memastikan agenda pembangunan bola sepak negara terus berjalan lancar demi penyokong dan semua pihak berkepentingan.