PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mengingatkan jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon agar menyediakan pasukan yang ampuh terlebih dahulu bagi menghadapi saingan Piala Asia 2024 di Qatar.

Jelas beliau, pasukan kebangsaan bakal melalui beberapa aksi persahabatan sekitar September hingga November sebagai persiapan menjelang saingan Piala Asia tidak lama lagi.

“Saya maklum kepada Kim Pan-gon kita kena persiapkan rumah kita dahulu. Pasukan kita haruslah mantap. Kita juga harus melihat beberapa siri persahabatan atau kejohanan pada September, Oktober dan November ini dan sampai Jun tahun depan.

“Sudah tentu kita mahu layak secara merit menjadi dua pasukan terbaik dalam Piala Asia. Bukan mudah kalau tiada persiapan rapi, jadi kita harus persiapkan pasukan,” jelas Hamidin ketika ditemui semasa Majlis Pelancaran Liga Wanita Nasional (LWN) di Stadium UITM Shah Alam, Selangor pada Sabtu.

Biarpun ramai beranggapan pasukan negara bertuah kerana mendapat laluan mudah di peringkat kumpulan setelah berjaya mengelak kuasa besar seperti Iran, Korea Selatan dan Jepun namun Hamidin enggan memandang rendah sebaliknya tetap menghormati mana-mana pasukan yang bakal ditentang.

“Mungkin ramai peminat anggap ini peluang kita untuk menang. Kita bersama dengan Oman, Kyrgysztan dan Chinese Taipei ataupun Timor Leste.

“Tetapi saya tidak memandang rendah bahawa sesiapun lawan kita bakal menjadi masalah kepada kita sekiranya kita tidak membuat persiapan di peringkat awal.

“Undian itu mungkin nampak pasukan agak mudah kerana kita tidak berjumpa dengan Korea, Jepun, Iran ataupun Arab Saudi,” ujarnya.

Menjelang Piala Asia 2023 yang dijadualkan berlangsung Januari hadapan, beberapa siri perlawanan persahabatan akan diadakan bagi memperkasa skuad kebangsaan yang kini berada pada prestasi terbaik.

Kejohanan Pestabola Merdeka yang bakal diadakan pada Oktober ini  merupakan antara medan bagi menguji sejauh mana keupayaan skuad senior kebangsaan menjelang Piala Asia nanti.

“Perlawanan persahabatan kita lawan dengan Syria dan China. Minggu depan ada draw kita jumpa India , Palestin atau Lebanon yang dijadulkan untuk aksi Pestabola Merdeka. Selepas itu, kita fokus untuk kejohanan demi kejohanan,” katanya.