BEREGU lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani lega menamatkan kemarau lebih setahun tanpa gelaran sekali gus berupaya untuk kekal dalam kelompok 10 terbaik ranking dunia.

Menakluk Istora Senayan dengan kejayaan manis di Masters Indonesia bukanlah perkara mudah, namun bekas beregu nombor satu dunia itu mempamerkan ketenangan dan kematangan untuk menundukkan pasangan Indonesia, Raymond Indra-Nikolaus Joaquin 21-19, 21-13 dalam masa 37 minit.

“Ini adalah kemenangan yang sangat bermakna untuk kami berdua kerana sudah lama kami bergelut dengan prestasi,” kata Izzuddin, yang jelas lega dengan kebangkitan itu.

Izzuddin percaya kejayaan berkenaan mampu menjadi pencetus semangat baharu untuk mereka memburu konsistensi di kejohanan seterusnya.

“Sudah tentu ia akan menaikkan lagi semangat kami untuk kejohanan seterusnya dan sasaran kami selepas ini adalah untuk memastikan prestasi dapat dikekalkan selain terus berada dalam kelompok teratas,” kata pemain yang kini berada di ranking kesembilan dunia itu.

Sebagai rekod, gelaran itu adalah yang pertama dalam tempoh lebih setahun buat gandingan digelar DinFei selepas kali terakhir mereka muncul juara di Terbuka India Januari tahun lalu.

Kekal dalam kelompok Top10 dunia bermakna pasangan itu masih boleh menikmati pelbagai sokongan yang ditawarkan Program Road to Gold (RTG).