KEM Harimau Malaya menarik nafas lega apabila Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) membenarkan permohonan Penangguhan Pelaksanaan yang dikemukakan tujuh pemain warisan, sekali gus membuka laluan mereka kembali beraksi di pentas bola sepak sementara menunggu keputusan muktamad rayuan.

Keputusan itu menyaksikan hukuman penggantungan 12 bulan yang dikenakan FIFA terhadap Facundo Garcés, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, João Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Héctor Hevel ditangguhkan, membolehkan mereka meneruskan karier serta menyertai sebarang aktiviti bola sepak tanpa halangan buat masa ini.

Berita gembira itu pantas mencetus reaksi emosi dalam kalangan pemain terbabit, dengan Gabriel Palmero meluahkan kelegaan menerusi media sosial sejurus pengumuman rasmi dibuat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“Kami kembali,” tulis Palmero ringkas namun penuh makna, menggambarkan semangat baharu yang kembali menyala dalam kem skuad kebangsaan.

Nada serupa turut dikongsi penyerang Harimau Malaya, Rodrigo Holgado, yang menyifatkan keputusan CAS itu sebagai sinar selepas tempoh sukar dilalui.

“Apabila paling tidak disangka, matahari muncul kembali dan segalanya kembali baik,” tulis Holgado, sebelum menambah, “Tiada ribut yang kekal selamanya.”

Perkembangan ini bukan sahaja memberi kelegaan kepada pemain, malah menjadi suntikan moral besar buat Harimau Malaya yang sebelum ini terpalit kontroversi membabitkan status pemain warisan.

Kini, tumpuan kembali terarah ke padang dengan tujuh tonggak berkenaan dibenarkan menyarung jersi kelab dan negara, sementara seluruh negara menantikan keputusan akhir CAS yang bakal menentukan hala tuju sebenar masa depan mereka bersama Harimau Malaya.