BRUNO Fernandes yang mengalami kemalangan pada Isnin dijangka kembali boleh beraksi menentang Liverpool menjelang saingan Liga Perdana Inggeris awal pagi Rabu.

Pengurus Manchester United, Ralf Rangnick menjelaskan Fernandes dalam kondisi baik dan telah bersama pasukan bagi mengikuti sesi latihan.

“Insiden terjadi dalam perjalanan ke Carrington. Namun, apa yang saya tengok dia tidak alami kecederaan. Dia berlatih bersama pasukan dan dia okay sahaja,” kata Rangnick dalam sidang media yang dipetik dari laman rasmi kelab.

Kereta Porsche Panamera milik Fernandes terlibat kemalangan dengan kenderaan lain semasa perjalanannya menuju pusat latihan MU.

Hanya sedikit kerosakan pada kereta manakala Fernandes tidak mengalami luka serius.