PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) disaran mengambil pendekatan lebih proaktif dalam memperkukuh semula skuad Harimau Malaya susulan hukuman yang dikenakan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
Jurulatih berpengalaman, Sulaiman Hussin berkata, badan induk bola sepak negara itu perlu segera merangka beberapa langkah penting termasuk memperketatkan proses pengesahan status pemain.
Menurutnya, aspek perundangan dalam pentadbiran juga perlu diperkukuh bagi memastikan setiap urusan berkaitan pemain dilaksanakan mengikut garis panduan yang ditetapkan.
“Koordinasi antara setiap jabatan dan unit perlu dipertingkatkan supaya segala urusan berkaitan pemain dapat diselaraskan dengan lebih teliti,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan pematuhan penuh terhadap statut dan peraturan antarabangsa yang ditetapkan oleh Konfederasi Bolasepak Asia dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Dalam masa sama, Sulaiman berpandangan pembangunan bakat tempatan perlu dijadikan keutamaan utama dalam usaha memperkukuh pasukan negara.
Katanya, usaha memperluas program akar umbi serta memperkasakan liga domestik adalah platform terbaik bagi melahirkan lebih ramai pemain berkualiti.
Walaupun hukuman yang dikenakan memberi kesan kepada kempen Kelayakan Piala Asia 2027, beliau melihat terdapat beberapa perkembangan positif yang mula dizahirkan.
“Antaranya termasuk peningkatan kesedaran terhadap kepentingan tadbir urus yang telus, sikap lebih berwaspada berkaitan integriti serta penambahbaikan menyeluruh dalam sistem pengurusan pemain,” katanya.
Beliau menyifatkan situasi yang berlaku sebagai peluang untuk membina semula pasukan dengan asas lebih kukuh selain menyaksikan komitmen lebih padu dalam kalangan pemain dan pegawai.
“Dengan sokongan berterusan daripada penyokong, saya percaya Harimau Malaya mampu kembali lebih kompetitif di pentas antarabangsa.
“Dalam jangka masa panjang, episod ini wajar dijadikan pengajaran berharga bagi memperkukuh asas bola sepak negara ke arah masa depan yang lebih cemerlang,” katanya.