MASA depan bola sepak Asia dijangka membawa kejayaan dan kemajuan lebih besar apabila Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa dan Presiden Fifa, Gianni Infantino mengesahkan projek kerjasama Stadium AFC baharu dalam majlis pecah tanah di Putrajaya pada Isnin.

Stadium khusus bola sepak tercanggih baharu itu akan dibiayai dengan sokongan program Fifa Forward dan akan mengukuhkan lagi cita-cita AFC untuk menyokong persatuan ahli (MA) dan persatuan wilayah (RA) mereka dengan lebih cekap.

“Visi dan Misi AFC telah menggariskan cita-cita kami untuk memastikan kami memaksimumkan potensi MA dan RA kami.

“Bagi pihak keluarga bola sepak Asia, saya mesti mengucapkan terima kasih kepada Fifa atas kesanggupan mereka melakar era baharu kemajuan bersama AFC serta kerajaan Malaysia atas dedikasi mereka terhadap pembangunan bola sepak Asia, bukan sahaja melalui projek ini. tetapi atas sokongan padunya selama beberapa dekad.

“Saya yakin Stadium AFC baharu akan membuka jalan kepada MA dan RA kami untuk mencapai tahap yang lebih tinggi dalam dekad akan datang,” kata Shaikh Salman dalam kenyataan di The-AFC.com

Infantino, yang berada di Kuala Lumpur untuk menghadiri mesyuarat jawatankuasa eksekutif AFC, berkata ia adalah pelaburan penting untuk bola sepak Asia.

“Ia adalah projek yang hebat, dan saya amat berbangga dan gembira kerana kami bekerjasama melalui stadium AFC dan Fifa. Ini boleh menandakan satu langkah baharu di seluruh bahagian yang sangat penting di rantau Asia,” katanya.

Terletak kira-kira 30km dari ibu pejabat AFC di Bukit Jalil, Stadium AFC di Putrajaya akan dibina di atas tapak tanah seluas 15.43 ekar, dilengkapi sepenuhnya dengan grandstand, boulevard dan atrium penonton, pejabat pentadbiran, dan tempat letak kereta bawah tanah.

Keluasan lantai stadium adalah kira-kira 580,000 kaki persegi dengan kapasiti tempat duduk 10,000 dan akan menampilkan padang bola sepak berperingkat Fifa yang berkualiti tinggi.

Antara lain, beberapa ciri utama juga termasuk kafeteria, tribun media terkemuka dan bilik pengulas media serta pelbagai tarikan lain yang akan dibina di pintu masuk stadium.