BINTANG bola sepak, Lionel Messi tidak akan tampil bersama Argentina pada kempen kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Chile dan Colombia kerana masih mengalami kecederaan ketika Paulo Dybala dipanggil semula ke dalam skuad bimbingan Lionel Scaloni.

Messi tidak bermain bersama kelabnya Inter Miami sejak mengalami kecederaan buku lali ketika Argentina mengatasi Colombia 1-0 pada perlawanan akhir Copa America di Miami, Amerika Syarikat.

Penyerang Roma, Dybala, tidak membuat penampilan antarabangsa sejak Mac 2023 tetapi mungkin mendapat peluang untuk tampil kali ke-38 bersama skuad kebangsaan selepas ketiadaan Messi.

Juara dunia itu juga akan kehilangan khidmat Angel Di Maria selepas pemain sayap veteran itu bersara daripada kancah bola sepak antarabangsa.

Argentina kini menghuni tangga teratas pusingan kelayakan zon Amerika Selatan bagi pusingan akhir 2026 di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.

Pasukan bimbingan Scaloni akan menjadi tuan rumah kepada Chile pada 6 September sebelum berdepan Colombia di Barranquilla empat hari kemudian.