PRESIDEN FIFA, Gianni Infantino menegaskan badan induk bola sepak dunia itu tidak akan menggantung negara haram Isr**l meskipun menerima desakan antarabangsa berikutan kekejaman berterusan terhadap Palestin.

Menurut reuters, Dalam mesyuarat Majlis FIFA, Infantino berkata bola sepak tidak boleh dijadikan medan untuk menyelesaikan masalah geopolitik, sebaliknya peranannya adalah menyatukan manusia menerusi nilai kemanusiaan, pendidikan, budaya dan kesukanan.

“FIFA komited menggunakan kuasa bola sepak untuk menyatukan manusia dalam dunia yang berpecah. Fikiran kami bersama mereka yang menderita dalam pelbagai konflik di seluruh dunia. Tetapi mesej paling penting ketika ini ialah keamanan dan perpaduan,” katanya.

Kenyataan itu hadir di tengah-tengah gesaan beberapa pihak termasuk Presiden Persekutuan Bola Sepak Norway, Lise Klaveness, yang mendesak negara haram Isr**l digantung sama seperti Rusia yang disingkirkan pada 2022 selepas menceroboh Ukraine.

“Secara peribadi saya fikir, kalau Rusia boleh digantung, negara haram Isr**l juga sepatutnya digantung,” kata Klaveness minggu lalu.

Namun, Infantino memilih untuk tidak menyebut secara langsung Isr**l mahupun persekutuan bola sepaknya dalam kenyataan rasmi FIFA, sebaliknya hanya menzahirkan sokongan kepada rakyat Palestin ketika bertemu Presiden Persatuan Bola Sepak Palestin (PFA), Jibril Rajoub, di Zurich.