HANYA tinggal sebulan sebelum membuka tirai, penganjur Sukan Solidariti Islam (ISG Riyadh 2025) semalam melancarkan slogan rasmi edisi kali ini iaitu “One Nation”, yang membawa mesej perpaduan dan solidariti umat Islam menerusi kuasa sukan.

Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Penganjuran, Putera Fahad Bin Jalawi Al Saud menegaskan bahawa slogan tersebut mencerminkan erti yang lebih mendalam berbanding sekadar kejohanan. Ia dianggap sebagai wadah menyatukan dunia Islam melalui nilai bersama dan semangat kesukanan.

“Slogan ‘One Nation’ mencerminkan makna yang lebih mendalam di sebalik acara sukan ini. Ia bukan sekadar sebuah kejohanan tetapi sebuah mesej perpaduan yang menyatukan dunia Islam melalui nilai bersama dan solidariti.

Prince Faisal bin Fahad Olympic Complex

 

“Dengan sokongan berterusan kepimpinan bijaksana, Kerajaan kekal komited untuk merangkul dunia Islam dan menyerlahkan nilai-nilai yang menyatukan kita. Tidak kira betapa sengitnya persaingan, kita semua bertemu dengan keyakinan bahawa kita adalah satu ummah,” katanya dalam kenyataan.

Acara dwitahunan yang bakal berlangsung dari 7 hingga 21 November ini dijangka menghimpunkan lebih 3,000 atlet dari 57 negara. Sebanyak 23 acara sukan akan dipertandingkan di lima venue utama sekitar Riyadh, dengan perlawanan bermula 3 November.

Riyadh sebelum ini pernah menjadi tuan rumah edisi sulung ISG pada 2005. Kembali selepas 20 tahun, Arab Saudi mahu mengukuhkan reputasi sebagai hab penganjuran sukan antarabangsa sambil mengekalkan nilai tradisi dan budaya Islam.

Prince Faisal bin Fahad Sports City

Majlis perasmian rasmi akan berlangsung pada 7 November di Stadium Prince Faisal bin Fahad, yang turut dijangka menampilkan persembahan bercirikan warisan Arab Saudi dan Islam.

Dengan pemilihan slogan “One Nation”, penganjur berharap kejohanan kali ini mampu melangkaui sempadan persaingan dan mencetuskan gelombang kebersamaan, seiring aspirasi ISSA (Islamic Solidarity Sports Association).

Riyadh 2025 bukan sekadar pentas merebut pingat, sebaliknya satu perhimpunan besar dunia Islam yang meraikan persaudaraan, perpaduan dan masa depan sukan yang lebih inklusif.