ATLET negara, Nurhaqimy Ismail mengharumkan nama Malaysia apabila muncul juara keseluruhan pada Kejohanan Paragliding Cross Country Sumedang West Java 2025 yang berlangsung dari 21 hingga 28 September di Indonesia dan kemenangan ini dianggap bersejarah buat sukan udara negara.
Kejohanan berprestij itu menghimpunkan lebih 120 atlet dari 18 negara termasuk Jerman, Korea Selatan, China dan Australia, saingan sengit tidak menggugat konsistensi Nurhaqimy yang berjaya mengekalkan prestasi terbaik hingga mengungguli carta keseluruhan.
Selain bergelar atlet Nurhaqimy turut memikul tanggungjawab sebagai Presiden Persekutuan Sukan Udara Malaysia MSAF, menjadikan kejayaannya lebih bermakna kerana membuktikan Malaysia mampu bersaing di peringkat dunia dalam sukan udara
Kemenangan ini juga hadir selepas Malaysia menjuarai disiplin accuracy pada Paragliding World Cup sekaligus menampilkan kekuatan negara dalam dua cabang utama paragliding iaitu accuracy dan cross country.
Pencapaian tersebut memberi suntikan semangat menjelang Sukan SEA akan datang di mana paragliding bakal menjadi acara rasmi dan Malaysia sendiri bakal menjadi tuan rumah pada edisi 2027.
Kejohanan Sumedang yang terkenal dengan cabaran laluan pergunungan serta penyertaan atlet elit dunia menambah nilai kepada kemenangan Nurhaqimy yang berjaya meletakkan Malaysia sebagai kuasa baharu dalam arena paragliding antarabangsa.
Kredit Gambar : Malaysian Sports Aviation Federation