PEMILIK Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyeru kepada semua penyokong untuk hadir beramai-ramai ke Stadium Sultan Ibrahim untuk mendukung JDT bertemu Sri Pahang FC pada Rabu.
Menerusi hantaran di ruangan komen di Instagram, beliau penuh bersemangat menyeru para penyokong untuk hadir ke stadium sebelum liga berehat sebulan kerana memberi laluan kepada pasukan kebangsaan.
TMJ juga mahu penyokong merasakan apa yang beliau telah alami untuk memastikan JDT berada di tahap yang membanggakan sehingga kini dan Baginda berterima kasih kepada semua penyokong yang sudah memberikan sokongan selama ini.
“Esok last game selepas itu liga break untuk 1 bulan. Datang stadium beri sokongan. Tahun ini fighting spirit team luar biasa. Sejarah dan rekod telah tercipta. Sokongan anda memberi setiap pemain semangat yang luar biasa. Kesian saya ni.
“Berjuta- juta duit keluar, masa, pengorbanan, sejarah, pencapaian…dan masih kena merayu penyokong datang ke stadium. Apa-apa pun terima kasih atas sokongan anda. JDT.”
Inilah semangat yang kita perlukan oleh setiap pemilik ataupun setiap presiden persatuan bola sepak kerana tanpa penyokong apalah bola sepak.
Namun begitu, jumlah kehadiran penyokong JDT di Stadium Sultan Ibrahim sangat konsisten tanpa mengira hari, pasukan lawan dan juga bulan Ramadan dan Aidilfitri.