URAWA Red Diamonds membawa pulang kelebihan gol di tempat lawan selepas mengikat Al Hilal 1-1 dalam aksi final pertama Liga Juara-Juara AFC 2022 di Stadium Antarabangsa King Fahd, Riyadh pada Sabtu.
Al Hilal mendominasi perlawanan dan memperolehi jaringan menerusi Salem Al Dawsari pada minit ke-15 sebelum Shinzo Koroki menyamakan kedudukan pada minit ke-53 dalam aksi rancak di hadapan 50,881 penyokong.
Malang buat Al Hilal apabila Al Dawsari menerima kad merah selepas menendang Ken Iwao dan ini menyukarkan misi juara Arab Saudi itu pada final kedua di Saitama 6 Mei nanti.
⏰ FULL-TIME | 🇸🇦 @Alhilal_EN 1️⃣ – 1️⃣ @REDSOFFICIAL 🇯🇵
All to play for in Saitama next week as Salem Al Dawsari and Shinzo Koroki exchange goals 🤝#ACLFinal | #HILvURA pic.twitter.com/DQEBVrFNdM
— #ACL2022 (@TheAFCCL) April 29, 2023
Pengendali Al Hilal Ramon Diaz tidak dapat menyembunyikan kekecewaan namun dia tetap yakin barisan pemainnya masih berpeluang untuk merangkul gelaran juara ACL 2022.
“Kami bermula dengan baik dan sangat baik di bahagian serangan dan kami layak untuk mendahului. Bagaimanapun ini adalah perkara biasa pada final apabila kesilapan berlaku dan ianya menyukarkan keadaan. Namun final ini belum berakhir dan kami akan berjuang hingga ke wisel terakhir.
“Kami telah bersedia untuk perlawanan ini dan berpeluang memenanginya. Kami sudah biasa dalam keadaan yang sukar dan kami akan berkerja lebih keras dan bersedia untuk final kedua kerana kami masih belum mengibarkan bendera putih untuk menjadi juara Asia sekali lagi,” katanya selepas perlawanan.

Sementara itu, pengendali Urawa Reds, Maciej Skorza memuji barisan pemainnya yang berjaya mengekang aksi dominan Al Hilal dan berjaya membawa pulang kelebihan gol di tempat lawan.
“Ianya adalah perlawanan yang sangat sukar bertemu pasukan yang baik seperti Al Hilal dan sejujurnya saya kecewa dengan persembahan kami pada peringkat awal kerana kami gagal mengawal perlawanan.
“Kami bertambah tenang dalam perlawanan dan mencipta beberapa pelumg menerusi serangan balas meskipun niat kami adalah untuk bermain secara lebih menyerang. Kami mempunyai gandingan pemain muda dan berpengalaman dan kami tidak mempunyai sebarang jangkaan untuk menentang pasukan seperti ini.

“Ianya adalah keputusan yang baik buat kami dan saya mempunyai rasa hormat yang tinggi kepada pemain saya kerana mereka tetap berjuang meskipun berhadapan lawan yang sukar dan kini bersedia untuk perlawanan kedua di Saitama minggu hadapan,” katanya.
Keputusan 1-1 itu adalah ulangan kepada final 2017 dimana Urawa menjulang trofi selepas memenangi perlawanan timbal balik 1-0 di Saitama dan kini kedua-dua pasukan akan berentap sekali lagi di stadium yang sama.