LIGA Bola Sepak Amatur (AFL), menegaskan pihaknya tidak dapat mengambil tindakan terhadap isu tunggakan gaji yang melibatkan kelab PIB Shah Alam sekiranya tiada aduan rasmi diterima daripada pemain atau staf kelab tersebut.

Ketua Pegawai Operasi AFL, Mohd Raimi Fakri Mohd Fuad, berkata sehingga kini AFL hanya berurusan dengan pihak pengurusan kelab dan masih menerima maklum balas mengenai perlawanan serta urusan lain. Namun, pihak AFL tidak berhubung terus dengan pemilik kelab tersebut.

“Berkenaan dengan pemilik kelab yang dikatakan menghilangkan diri, kita di AFL sebenarnya tidak dapat mengesahkan perkara itu.

“Buat masa sekarang, AFL masih menerima maklum balas daripada pihak pengurusan kelab seperti penentuan perlawanan, tarikh, dan tempat. Jadi, dari segi itu, pasukan masih dianggap mengambil bahagian,” katanya kepada FLASH SUKAN ketika dihubungi pada Khamis.

Salah seorang isteri pemain meluahkan rasa kesal terhadap tindakan pemilik kelab yang dianggap tidak bertanggungjawab.

Mengulas mengenai tindakan disiplin terhadap pemilik kelab yang gagal menunaikan tanggungjawab kewangan, Raimi menjelaskan proses tersebut bergantung kepada aduan rasmi yang dikemukakan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Kalau ada aduan, proses akan bermula di mesyuarat jawatankuasa FAM dan dari situ, tindakan boleh diambil.

“Tanpa aduan rasmi, kita sukar untuk mengambil tindakan kerana tiada rekod sah seperti jumlah tunggakan atau bilangan individu terlibat,” jelasnya.

Menurut Raimi, AFL telah berulang kali menyeru pemain atau staf kelab yang mengalami masalah tunggakan gaji untuk membuat aduan rasmi.

Pemain PIB Shah Alam dijangka akan memboikot perlawanan seterusnya menentang Machan FC petang esok.

Selain itu, beliau juga menegaskan bahawa kenyataan di media sosial atau laporan tidak rasmi tidak memadai untuk membolehkan tindakan diambil.

“Untuk kes tunggakan gaji seperti ini, semua aduan perlu dihantar kepada FAM dan setakat ini, semakan oleh FAM menunjukkan tiada aduan rasmi diterima.

“Kita mohon mana-mana individu yang terlibat supaya segera membuat aduan rasmi bagi memulakan proses tindakan,” jelasnya lagi.

ARTIKEL BERKAITAN : Isteri pemain PIB Shah Alam kesal sikap lepas tangan pemilik kelab

Ditanya mengenai langkah pengetatan peraturan kewangan untuk kelab, Raimi menjelaskan AFL telah menetapkan kriteria tinggi untuk penyertaan dalam liga A1.

Walau bagaimanapun, rekod aduan rasmi adalah elemen penting untuk menilai kelayakan sesebuah pasukan sebelum bermulanyaa liga.

“Rekod aduan adalah penting untuk memastikan pasukan layak dan mampu bermain dalam liga dan setiap musim, kita buat pengesahan penyertaan itu.

“Jika tiada rekod isu gaji, maka perkara itu tidak dapat disemak. Jadi, kita menyeru supaya semua pihak yang terlibat tampil dan hantar dokumen yang diperlukan,” tambahnya.

PIB Shah Alam masih lagi boleh mendapatkan mata perlawanan walaupun menghadapi masalah tunggakan gaji.

Raimi juga menasihatkan pemain agar tidak hanya bergantung kepada media sosial untuk menyuarakan isu mereka.

Sebaliknya, mereka perlu menyerahkan dokumen rasmi seperti kontrak dan bukti berkaitan kepada FAM untuk tindakan selanjutnya.

“Kami telah memaklumkan dalam taklimat sebelum ini kepada pengurusan pasukan, jika ada isu, sila buat aduan.

“Tidak perlu muat naik status di Facebook atau Instagram kerana ia tidak memberi ruang kepada AFL untuk mengambil tindakan,” tambahnya lagi.

ARTIKEL BERKAITAN : Owner ‘hilang’, gaji 6 bulan tak bayar

Sejak kebelakangan ini, isu tunggakan gaji telahpun mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan peminat dan pemerhati bola sepak tempatan.

AFL berharap langkah-langkah yang sewajarnya dilakukan supaya dapat membantu menyelesaikan isu ini dengan adil dan profesional.