KOMENTAR Oleh MOHD FARIQ

HARI ini Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Azman Rahman akan menyambut ulangtahun kelahiran ke-56.

Malah kira-kira dua minggu akan datang, Azman juga bakal menyambut ulangtahun pertama sebagai Setiausaha Agung FAM.

Sejujurnya, penulis telah mengenali Azman sebelum beliau menjawat sebagai pentadbir sekretariat badan induk persatuan itu.

Menduduki kerusi panas dalam badan induk persatuan ini bukanlah satu tugas yang mudah dan ternyata rezeki Azman antara tokoh-tokoh yang pernah berada di dalam sekretariat.

Selepas mengambil tugas daripada mantan, Saifuddin Abu Bakar pada September tahun lalu, sudah pasti tumpuan akan diberikan kepada Azman.

Kejayaan Harimau Malaya layak ke pusingan akhir Piala Asia 2024 membuka mata semua pihak.

Apatah lagi kejayaan pasukan kebangsaan layak ke pusingan akhir Piala Asia 2024 Qatar meletakkan Azman sebagai Setiausaha Agung FAM menjadi tumpuan lensa.

Pun begitu, bekas Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA) ini tidak cepat melatah dan sentiasa memberikan komitmen tinggi kepada bola sepak negara.

Terkenal dengan memiliki hubungan baik dengan setiap ahli gabungan, penulis melihat Azman tidak kekok untuk menjalankan tugas dan mudah adaptasi dengan persekitaran bagi melicinkan setiap perjalanan sekretariat di FAM.

Azman turut aktif dalam menjalinkan kerjasama bola sepak program akar umbi dan mengeratkan hubungan dua hala di peringkat negeri dan sektor kementerian.

Berkat pengalamannya sebagai Pegawai Kordinator Presiden FAM juga dilihat banyak membantu Azman untuk menjadi Setiausaha Agung FAM.

Azman bertanggungjawab melicinkan segala tugas-tugas Presiden FAM, Datuk Hamidin Amin.

Malah penulis secara peribadi melihat Azman juga membawa inspirasi Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dalam memberikan sumbangan kepada bola sepak negara.

“Bukan mudah menjadi Setiausaha Agung FAM dan setiap kali saya menjejakkan kaki ke FAM, tekanan sudah mula dirasai namun saya harus amanah kepada tanggungjawab yang telah diberikan.

“Saya berkhidmat dengan Presiden FAM, Datuk Hamidin yang diketahui cukup hands on dan teliti setiap apa tindakan dilakukan. Saya juga bertuah bekerja di bawahnya kerana pengalamannya yang luas membantu saya serta ilmu yang diturunkan kepada saya,” katanya dahulu kepada penulis.

Nasihat penulis kepada Azman supaya beliau dapat terus memperbaiki pentadbiran FAM ke landasan yang lebih tinggi.

Lebih tepat, penulis berharap FAM dapat dijadikan contoh teladan yang baik kepada seluruh persatuan-persatuan sukan di Malaysia.

Ini kerana penulis percaya terdapat banyak ruang untuk ditambahbaikkan dan harus diingat, Azman adalah ‘jantung’ kepada Presiden FAM.

Akhir kata, bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.