KUALA Lumpur City FC membuktikan mereka adalah pakar kejohanan piala apabila layak ke perlawanan akhir buat kali ketiga dalam tiga tahun sejak 2021 dan kini berpeluang sekali lagi mencipta kejutan dan layak sekali lagi ke kejohanan Asia.

Apa yang menarik, KL City adalah satu-satunya pasukan yang pernah menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan kompetitif Liga Malaysia pada 2021 dan kini akan bertemu semula dengan Harimau Selatan pada final Piala FA 2023 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Sabtu.

Kapten KL City FC, Paulo Josue berharap dia dan rakan-rakan sepasukan dapat menampilkan aksi tersusun untuk menghalang JDT sekaligus mengulangi kejayaan final Piala Malaysia 2021.

“Perlawanan akhir kali ini adalah perlawanan yang berbeza dan kami harap dapat sekat JDT dengan mengekang mereka terutama pada babak pertama. Ini akan menyebabkan mereka perlu bermain lebih pantas pada babak kedua dan mengundang mereka melakukan kesilapan.

“Namun bukan mudah untuk bermain di Stadium Sultan Ibrahim tetapi kami perlu professional dan hadir ke sana dan lakukan yang terbaik untuk merebut kejuaraan,” katanya yang bakal bermain final keempat bersama KL City FC.

Paulo juga sedar cabaran yang dihadapi KL City pada final kali ini kerana sejak final 2021 itu, JDT tidak menoleh kebelakang dengan tidak pernah tewas dan layak ke setiap final yang ada dan muncul juara.

Johor layak ke semua final tahun lalu dan hanya tiga pasukan dalam Liga Malaysia yang pernah ke final dan salah satunya adalah Kuala Lumpur City. Ini juga adalah final kami ketiga dalam tiga tahun tetapi JDT bermain di stadium mereka dengan sokongan penyokong sendiri.

“Kita juga tahu bagaimana dahaganya mereka dengan kejuaraan. JDT sering jaringkan gol awal dan selepas itu mereka akan mencari lebih banyak gol dengan permainan mereka yang cantik tetapi kami perlu lebih tersusun dan cuba lakukan kejutan kepada mereka,” jelasnya.

Kuala Lumpur City FC layak ke final selepas menewaskan Imigresen FC di peringkat 16 terbaik dan menumpaskan Sabah 1-2 di Stadium Likas sebelum memenangi penentuan penalti keatas Terengganu di peringkat separuh akhir.