PENYERANG baharu PDRM FC, Shahrel Fikri Fauzi berharap agar penghijrahannya ke skuad The Cops mampu meningkatkan lagi prestasinya sebagai seorang pemain bola sepak yang semakin meningkat usia.

Fikri yang sudah mencecah era 30-an kini menjadi sebahagian daripada keluarga PDRM FC setelah selesai berkhidmat buat Negeri Sembilan FC pada musim lalu.

Lebih menarik, Fikri juga pernah bersama dengan sebuah pasukan Lembah Klang pada 2021-2022 iaitu Selangor FC, dan kembalinya Fikri di Lembah Klang pada musim ini pasti akan mendapat perhatian oleh peminat-peminatnya.

Oleh itu, pemain yang membesar di Perak ini menanam hasrat untuk menajamkan lagi bakatnya di skuad Sang Saka Biru dan seterusnya dapat menonjolkan momentum yang baik pada aksi Liga Malaysia yang akan berlangsung.

Shahrel Fikri menyarung jersi PDRM FC pada saingan bola sepak musim ini.

“Saya harap dengan kehadiran saya di sini, saya dapat lebih banyak permainan dan pengajaran daripada setiap perlawanan yang dilalui.

“Saya percaya, semua jurulatih sedia ada di sini juga sangat berpengalaman, terutama ketua jurulatih. Saya boleh belajar banyak dengan mereka.

“Walaupun pasukan PDRM ini dianggap sebagai underdog, tetapi saya lihat pemain-pemain di sini juga mempunyai kualiti tersendiri. Musim ini, saya mahu pamerkan aksi yang lebih baik bersama pasukan ini,” ujarnya kepada FLASH SUKAN.

Terdahulu, portal ini ada melaporkan bahawa Shahrel Fikri kini sedang fokus untuk mempersiapkan diri dan pasukannya dalam mendepani cabaran di saingan bola sepak yang akan bermula pada Mei hadapan.

Artikel Berkaitan: “Tidak boleh terlalu beraya tahun ini” – Shahrel Fikri