Oleh MOHD HILMIE HUSSIN & IZZATI RAHMAN

 

BEBERAPA jam sahaja lagi menjelang pertembungan final Piala FA antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor, padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) kelihatan berada pada tahap terbaik, menyambut saingan jam 9 malam ini.

Begitupun, ramalan cuaca yang menjangkakan hujang lebat serta ribut petir ketika perlawanan berlangsung, agak merisaukan akan menjejas kualiti permainan, dan padang.

Pemain Selangor ketika sesi latihan rasmi di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Menurut ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET), cuaca pada sebelah petang diramal hujan namun baik pada sebelah malam.

Semua pihak terutamanya penyokong pasti berharap keadaan padang terus berada pada tahap terbaik bagi memastikan corak permainan kedua-dua pasukan tidak terjejas dan tidak merosakkan kemeriahan final Piala FA.

Padang SNBJ sebelum ini dkritik hebat kerana tidak berada pada tahap terbaik sehingga menjejaskan nama Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), yang didakwa gagal menyelenggara padang dengan baik.

Pemain JDT ketika menjalani latihan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Pada aksi Pestabola Merdeka Oktober tahun lalu, PSM menerima kritikan teruk kerana permukaan padang masih lagi belum bersedia apabila padang yang menggunakan rumput jenis Zeon Zoysia kelihatan seperti ‘terkoyak’ dan situasi itu turut mendapat keluhan banyak pihak.

PSM turut dikritik selepas gagal memastikan keadaan padang dalam keadaan terbaik pada final Piala Malaysia 2023 gara-gara terlalu rapat dengan konsert kumpulan rock antarabangsa, Coldplay.

Situasi sama sekali lagi berlaku selepas konsert Ed Sheeran pada Februari lepas apabila padang SNBJ berada pada tahap kurang memuaskan apabila Malaysia menjadi tuan rumah kepada Oman pada kempen kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada Mac.