BEKAS penyerang Kedah era 90-an, Faridzuan Che Hamid telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar sejak Rabu lalu akibat komplikasi usus yang dialaminya.
Menurut bekas pemain Kedah, Mohd Farouk Ismail, Faridzuan sebelum ini telah dirujuk ke sebuah hospital swasta di Alor Setar pada minggu lalu kerana masalah kesihatan yang sama. Namun, pemain berusia 53 tahun itu kemudian dipindahkan ke HSB untuk mendapatkan rawatan yang lebih lanjut.
“Apa yang dimaklumkan oleh keluarga terdekatnya kepada saya adalah Faridzuan bakal ditidurkan di wad ICU HSB pada Ahad bagi meneruskan proses rawatan yang ditetapkan berkaitan masalah usus yang dihadapinya,” katanya pada Sabtu.
Sepanjang kariernya bersama Kedah, Faridzuan pernah membantu pasukan Hijau Kuning mencapai naib juara Piala Malaysia 1992, juara Liga Divisyen 1 pada 1993, juara Piala Malaysia 1993, dan juara Piala Sumbangsih 1994.
Selepas bersara dari dunia bola sepak, Faridzuan yang berasal dari Pulau Tuba, Langkawi, telah menceburi bidang keusahawanan, terutamanya dalam sektor pembinaan dan penyediaan makanan.
Terdahulu, perkembangan kesihatan Faridzuan didedahkan oleh bekas ADUN Kuah, Nor Saidi Nanyan.