KETUA jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari menyifatkan bahawa perlawanan akhir Piala Malaysia yang akan berlangsung pada Jumaat di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) tidak boleh dipandang lewa oleh pasukannya.

Hal ini kerana, kekuatan dan corak permainan yang tidak dapat dijangka daripada pasukan Terengganu FC menjadi salah satu faktor ancaman buat skuad Harimau Selatan yang kini menggenggam gelaran juara Liga Super 2023.

Walau bagaimanapun, pengendali kelahiran Argentina itu tetap percaya bahawa dengan sikap mentaliti juara yang sedia ada dalam diri anak buahnya, mereka akan berjaya merealisasikan impian JDT untuk merangkul trofi ke-4 pada musim ini.

“Walaupun dalam bola sepak, JDT kadangkala menang dan kadangkala kalah, tetapi kita tetap akan mencuba cari jalan kemenangan.

“Kita akan kekalkan kunci kemenangan utama sesebelum ini iaitu dengan sikap dahagakan kemenangan yang lahir dalam setiap diri pemain walaupun kita sedar pihak lawan, Terengganu mempunyai banyak pemain yang berkualiti juga.

“Kita hanya perlu fokus kepada kerjasama antara pasukan dan fokus untuk beri komitmen 100% dalam padang supaya dapat menjadi skuad yang kita inginkan esok,” ujarnya dalam sesi sidang media pra-perlawanan Piala Malaysia 2023.

Pentas akhir Piala Malaysia 2023 akan berlangsung pada Jumaat di Stadium Nasional Bukit Jalil tepat jam 9 malam.