LAPAN pasukan akan tampil mewarnai kancah Liga Wanita Nasional (LWN) 2024 yang akan membuka tirainya bermula 6 Julai dengan pertambahan dua pasukan berbanding musim pertama pada 2023.

Susulan kejayaan edisi pertama, LWN diteruskan dengan Sabah bakal mempertahankan kejuaraan mereka selain disertai Melaka, Red Eagles SC dari Kedah, Real CJ FC dari Pulau Pinang, Selangor, Kelana United FC, Malaysian University dan Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP).

Majlis pelancaran Liga Wanita Nasional 2024 telah disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dalam satu majlis gilang gemilang di Kuala Lumpur pada Khamis.

Datuk Suraya ketika berucap di majlis pelancaran Liga Wanita Nasional 2024

“Liga bola sepak wanita ini jelas menunjukkan bahawa sukan ini memiliki potensi yang cerah jika terus diberikan peluang dan ianya kini berada di landasan yang tepat.

“Peningkatan dari segi penyertaan pasukan bagi musim 2024 ini juga mencerminkan populariti dan pengiktirafan kepada bola sepak wanita di negara kita.

“Tahniah saya ucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha mewujudkan ekosistem serta hala tuju bola sepak wanita bagi mencapai aras kecemerlangan sukan di Malaysia dan seterusnya ke peringkat antarabangsa,” kata Hannah.

Hannah dan Suraya melakukan gimik pelancaran Liga Wanita Nasional 2024

Selain daripada pertambahan penyertaan pasukan, LWN 2024 musim ini turut menggunakan format “home” dan “away” serta menggunakan stadium-stadium utama sebagai venue perlawanan seperti Stadium Darul Aman, Stadium Tun Abdul Razak, Stadium UiTM, Stadium Hang Tuah, Stadium Merdeka dan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

Selain itu, wang ganjaran kepada pemenang serta geran penyertaan kepada pasukan yang bertanding turut ditingkatkan sepertimana disahkan sendiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita, Datuk Suraya Yaacob.

Aksi pembukaan LWN 2024 akan menemukan Kelana United FC menentang Selangor FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras dengan kejohanan akan berlangsung selama lima bulan melibatkan 58 perlawanan secara keseluruhan.