KETUA jurulatih Amerika Syarikat, Mauricio Pochettino memberi amaran kepada anak buahnya supaya tidak memandang rendah kemampuan Paraguay menjelang pertembungan pembukaan Kumpulan D Piala Dunia 2026 di Stadium Los Angeles, esok.

Meskipun AS turun sebagai tuan rumah dan dilihat memiliki kelebihan di atas kertas, Pochettino percaya Paraguay mempunyai kualiti untuk mencetuskan masalah berdasarkan prestasi yang dipamerkan sepanjang kempen kelayakan.

Menurut pengendali kelahiran Argentina itu, kekuatan utama Paraguay terletak pada semangat juang tinggi, disiplin serta corak permainan agresif yang sering menyukarkan lawan.

Beliau turut mengingatkan bahawa Paraguay berjaya mencatat keputusan memberangsangkan dalam kelayakan termasuk menewaskan beberapa pasukan gergasi Amerika Selatan, sekali gus membuktikan mereka bukan pasukan yang boleh dipandang ringan.

Dalam masa sama, Pochettino memuji pengendali Paraguay, Gustavo Alfaro yang dianggap antara jurulatih berpengalaman dan disegani di rantau Amerika Selatan.

Menjelang aksi pembukaan kejohanan, Pochettino turut meluahkan keyakinan terhadap perkembangan skuad kendaliannya yang menunjukkan peningkatan positif dalam beberapa perlawanan persahabatan sebelum ini.

Keputusan memberangsangkan ketika menentang Senegal dan Jerman dianggap sebagai petanda bahawa AS memiliki kemampuan untuk bersaing dengan pasukan-pasukan terbaik dunia.

Pengendali berusia 54 tahun itu juga melihat perubahan positif dari aspek mentaliti pemain sejak beliau mengambil alih pasukan pada 2024, selain percaya skuadnya kini lebih matang untuk menghadapi cabaran di pentas terbesar bola sepak dunia.

AS akan membuka kempen Piala Dunia dengan harapan memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri, namun sedar sebarang kesilapan boleh dihukum oleh Paraguay yang hadir dengan reputasi sebagai pasukan yang sukar ditewaskan.

Sumber Gambar: Facebook/U.S. Soccer