Brazilian referee Wilton Sampaio shows a red card to South Africa’s midfielder #11 Themba Zwane during the 2026 World Cup Group A football match between Mexico and South Africa at the Mexico City Stadium in Mexico City on June 11, 2026. (Photo by Yuri CORTEZ / AFP)

KETUA jurulatih Afrika Selatan, Hugo Broos tetap melihat sisi positif meskipun pasukannya tewas 0-2 kepada tuan rumah, Mexico dalam aksi pembukaan Kumpulan A Piala Dunia 2026 di Stadium Azteca, awal pagi tadi.

Menurut pengendali berusia 74 tahun itu, anak buahnya mempamerkan disiplin tinggi terutama di bahagian pertahanan walaupun berdepan tekanan berterusan daripada Mexico sepanjang perlawanan.

Mexico meraih tiga mata menerusi jaringan Julian Quinones dan Raul Jimenez, namun Broos berasakan pasukannya berjaya menyukarkan usaha tuan rumah untuk mencipta peluang berkualiti.

Beliau menyifatkan benteng pertahanan Afrika Selatan berfungsi dengan baik dan berjaya mengehadkan ruang kepada pemain Mexico, walaupun akhirnya terpaksa akur dengan kekalahan.

Bagaimanapun, Broos mengakui pasukannya perlu memperbaiki aspek serangan jika mahu terus bersaing untuk merebut slot ke pusingan kalah mati.

Afrika Selatan mengakhiri perlawanan dengan sembilan pemain selepas Sphephelo Sithole dan Themba Zwane dilayangkan kad merah, manakala Mexico turut kehilangan kapten mereka, Cesar Montes.

Broos menerima keputusan kad merah pertama, namun menganggap insiden yang membawa kepada pengusiran Zwane masih boleh diperdebatkan.

Kekalahan itu meletakkan Afrika Selatan dalam tekanan menjelang perlawanan kedua kumpulan menentang Republik Czech di Atlanta, namun Broos percaya pasukannya masih mempunyai peluang untuk bangkit sekiranya dapat mengekalkan disiplin bertahan sambil meningkatkan ketajaman di hadapan gol.