PRNGENDALI sementara Selangor, Christophe Gamel, memilih untuk tidak menyalahkan mana-mana pemain selepas pasukannya tewas kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super, Ahad lalu, sebaliknya memuji komitmen tinggi yang dipamerkan sepanjang perlawanan.
Dalam perlawanan tumpuan yang berlangsung sengit itu, Selangor terpaksa akur dengan kekalahan 2-0 selepas dibolosi jaringan sendiri oleh Richmond Ankrah dan satu gol daripada penyerang berbisa JDT, Bergson da Silva.
Gamel berpandangan keputusan perlawanan sebenarnya lebih seimbang berdasarkan peluang yang dicipta pasukannya, malah merasakan jurang jaringan tidak sepenuhnya mencerminkan prestasi Selangor di atas padang.
“Bagi saya, keputusan 1-0 adalah adil. Kami juga mempunyai peluang sendiri,” kata jurulatih dari Perancis itu, sambil mengakui kegagalan memanfaatkan peluang menjadi faktor utama keputusan perlawanan.
Beliau menambah, dalam perlawanan berintensiti tinggi menentang pasukan seperti JDT, setiap peluang yang terhasil perlu dimanfaatkan sepenuhnya, namun perkara itu tidak berjaya dilakukan oleh barisan pemainnya.
Walaupun Selangor dibolosi hasil kesilapan sendiri, Gamel enggan menuding jari dan menegaskan beliau berbangga dengan semangat juang serta usaha maksimum yang ditampilkan para pemain.
“Saya tidak boleh menyalahkan sesiapa atau menyesal kerana para pemain telah memberikan segalanya,” jelasnya.
Kemenangan itu menyaksikan JDT terus kukuh di puncak Liga Super dengan 39 mata hasil 13 kemenangan berturut-turut, manakala Selangor kekal di tangga keempat dengan 25 mata.