Malaysian Football League (MFL) mengesahkan pihaknya sedar akan isu tunggakan gaji pemain Kelantan The Real Warriors FC (KTRW) dan memaklumkan bahawa kelab tersebut telah diarahkan oleh First Instance Body (FIB) di bawah Financial Fair Play (FFP) untuk mengemukakan bukti pembayaran atau pelan penyelesaian selewat-lewatnya 31 Disember 2025.

Menurut MFL, arahan berkenaan telah dikeluarkan pada 14 November 2025, susulan laporan berkaitan tunggakan gaji yang melibatkan pemain-pemain KTRW.

MFL turut menjelaskan bahawa tunggakan gaji tersebut membabitkan musim 2024–2025 di bawah pengurusan pemilik kelab terdahulu, manakala tiada tunggakan direkodkan bagi musim 2025–2026 setakat ini di bawah pengurusan semasa.

Dalam perkembangan berkaitan, PDRM FC yang turut berdepan isu tunggakan gaji bagi musim ini juga telah diarahkan untuk menyerahkan dokumen berkaitan FFP sebelum tarikh akhir yang sama.

Bagi menangani isu tunggakan gaji pemain, MFL memaklumkan pihaknya bekerjasama rapat dengan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) menerusi pelaksanaan mekanisme FFP bagi memastikan kebajikan pemain terus terpelihara.

Sebarang keputusan lanjut berhubung kes tunggakan gaji yang melibatkan Kelantan The Real Warriors FC dan PDRM FC akan dibincangkan dalam mesyuarat FFP FIB yang dijadual berlangsung dalam masa terdekat.