BEKAS beregu legenda negara, Koo Kien Keat secara terbuka mengakui enggan menyertai barisan kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas kecewa dengan layanan serta diskriminasi tawaran terhadap jurulatih tempatan berbanding jurulatih asing.

Menurut bekas pemain nombor 1 dunia itu, hatinya sudah tertutup untuk bersama badan induk badminton Malaysia itu selain kerana komitmen kerja sendiri, namun baginya, seseorang jurulatih yang berkesan perlu masih muda serta mampu ‘sparring’ bersama pemain.

“Dulu, saya harapkan apabila ditawarkan oleh BAM, saya boleh menjadi orang tempatan pertama yang mendapat tawaran tinggi sebagai permulaan baik untuk jurulatih tempatan yang lain. Tetapi ia tidak berlaku. Ini mungkin BAM ada pendapat sendiri.

“Dalam kalangan masyarakat Cina, kami selalu kata ‘bulan di luar negara lebih bulat’. Kalau negara sendiri, bulan itu macam tak berapa bulat,” katanya, ketika ditemui di Axiata Arena, hari ini,” kata Kien Keat, ketika ditemui di Axiata Arena, pada sesi menguji gelanggang sempena kejohanan Badminton Terbuka Malaysia (Super 1,000).

Difahamkan, Kien Keat mendapat tawaran dari BAM, untuk membimbing beregu lelaki sebelum Herry Iman Pierngadi dan tawaran kedua sebagai pembantu Herry, namun gagal mendapat kata sepakat akibat tawaran gaji yang jauh lebih rendha berbanding jurulatih asing.

Sementara itu, Kiean Keat mengakui kehadirannya di Axiata Arena hari ini untuk membantu bekas beregi nombor 1 dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menghadapi saingan di gelanggang sendiri.

“Untuk kejohanan ini, saya membantu Sze Fei-Izzuddin kerana mereka meminta saya bantu, dan ini bukan tugas penuh sebagai jurulatih… saya hanya bantu secara sukarela tanpa bayaran.

“Mereka ada kelemahan teknikal yang perlu diperbetul dan ada kekuatan yang boleh dimaksimumkan namun yang utama adalah aspek mental.”

Juara Sukan Asia 2006 dan Seluruh England 2007 itu menegaskan bahawa Sze Fei-Izzuddin perlu perbetulkan fokus mereka bukan hanya untuk Terbuka Malaysia malah kejohanan besar lain termasuk Seluruh England, Asia dan sebagainya.