JAGUH tenpin boling negara, Natasha Roslan nyata gembira dengan penganugerahan pingat Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk kepada ratu boling kebangsaan, Datuk Shalin Zulkifli.
Shalin menerima pingat itu dalam istiadat bersempena Hari Wilayah Persekutuan di hadapan Yang DiPertuan Agong, Al Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Negara pada Rabu.
Natasha yang baru sahaja memenangi Anugerah Pasukan Wanita Kebangsaan 2021 di Majlis Anugerah Sukan Negara 2021 pada Selasa menganggap Shalin sememangnya layak untuk mendapat gelaran itu berdasarkan jasanya kepada negara.
Gadis manis yang bakal menyambut ulang tahunnya yang ke-27 pada 12 Februari juga berbangga dengan penghargaan yang dicapai dirinya serta rakan sepasukan dan akan menggunakan kejayaan ini sebagai pembakar semangat bagi menghadapi pelbagai kejohanan yang menanti untuk tahun 2023 ini.
“Alhamdulillah, saya sangat gembira untuk Kak Shalin. Sememangnya dia layak kerana dia sudah banyak berjasa untuk negara dan ini juga adalah satu kejayaan buat sukan boling di negara ini secara keseluruhan.
Syukur kerana anugerah ini sangat bermakna untuk saya dan rakan sepasukan selepas apa yang kami lalui untuk sampai ke tahap ini. Pastinya anugerah ini akan memberika satu semangat untuk kami bekerja lebih keras dan beri yang terbaik untuk negara,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Natasha dan rakan sepasukan bersama pingat perak yang dimenangi.
Natasha dan tiga lagi rakan sepasukan, Faten Najihah, Siti Safiyah Amirah dan Nur Syazwani melakar sejarah apabila memenangi pingat perak acara berpasukan wanita di Kejuaraan Dunia Tenpin Boling IBF di Dubai pada 2021.
Dia dan rakan sepasukan yang baru pulang dari Kejuaraan Piala Dunia Tenpin Boling IBF di Hong Kong kini akan mula berlatih sebagai persediaan menghadapi Terbuka Malaysia, Macau, Hong Kong dan Thailand sebelum menghadapi Kejuaraan Dunia di Kuwait pada Oktober 2023.