PDRM FC sekali lagi membuktikan mereka adalah ‘surprise package’ untuk kempen Liga Super musim ini apabila berjaya mengikat Terengganu FC dalam aksi di Stadium MBPJ Kelana Jaya pada Ahad.
Sang Saka Biru yang turun dengan barisan terbaik beraksi penuh disiplin terutama ketika bertahan dan sekali lagi berjaya menghampakan lawan yang sama sekali tidak mampu melakukan percubaan tepat ke arah gol.
Terengganu pula memberikan debut kepada pemain import yang baharu ditandatangani, Nurillo Tukhtasinov untuk mengemudi bahagian tengah bersama Habib Haron manakala Adisak Kraisorn mengetuai bahagian serangan.
LIGA SUPER 2023
FT: PDRM FC 0-0 Terengganu FC #LigaSuper2023#SangSakaBiru#PetehTeganuPeteh
More pictures at: https://t.co/ipIgA22uDq
📸 Khairul Akma I Flash Sukan pic.twitter.com/49KB5BsI6U
— Flash Sukan (@FlashSukan) July 16, 2023
Skuad Peteh banyak menguasai permainan pada babak pertama namun dihampakan ketumpulan penyudah dengan PDRM seperti biasa menggunakan taktikal serangan balas untuk menguji benteng Terengganu yang dikawal Suhaimi Hussin.
Tidak banyak perubahan berlaku dalam corak permainan kedua-dua pasukan separuh masa kedua dan kira-kira hampir 1,000 penyokong yang hadir mula kecewa dengan mutu permainan yang ditunjukkan.
Meskipun pengendali Terengganu, Tomislav Steinbruckner membawa masuk Ivan Mamut dan Liridon Krasniqi untuk menambah sengat di bahagian serangan namun ianya tidak membuahkan hasil dan keputusan 0-0 kekal hingga tamat perlawanan.
Keputusan seri ini menyaksikan PDRM kekal di tangga kelapan liga dengan 23 mata manakala Terengganu naik satu anak tangga ke tangga keenam mengatasi KL City dengan kelebihan jaringan meskipun berkongsi 25 mata.