JARINGAN seawal minit pertama permainan menerusi Syafiq Ahmad cukup untuk memberikan Kedah Darul Aman FC tiga mata penuh selepas menewaskan PDRM FC 1-0 dalam aksi di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Perlawanan yang bermula pada sebelah petang itu bagaimanapun menjadi kurang menarik terutama pada babak kedua ekoran keadaan padang yang kurang memuaskan akibat hujan berterusan sejak awal permainan.

Syafiq yang baru sahaja diumumkan sebagai penolong ketua pasukan, memulakan aksi penuh meyakinkan apabila dia melakukan volley dari jarak dekat seawal 33 saat untuk mencetak gol pertama Liga Super musim 2024-25.

Kedua-dua pasukan berbalas serangan pada babak pertama namun dinafikan kekebalan barisan pertahanan selain ketangkasan penjaga gol untuk memastikan kedudukan 1-0 kekal hingga tamat babak pertama.

Sang Saka Biru dibawah kendalian P. Maniam banyak mengasak kubu Kedah untuk mencari gol penyamaan namun hampa meskipun menurunkan enam pemain import bagi memantapkan lagi pasukan dalam aksi ini.

Tidak banyak yang dapat dilakukan pada babak kedua kerana padang becak umpama bendang yang menjejaskan aksi dengan bola sering tersangkut sekaligus mengganggu kelancaran permainan dan menyukarkan misi pencarian gol.

Keadaan padang umpama bendang menggangu kelancaran permainan

Perlawanan pertama liga menggunakan teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) juga diuji dengan beberapa keputusan penalti dan kad merah disemak pengadil bagi memastikan keputusan yang lebih tepat diberikan.

Kedudukan 1-0 kekal hingga tamat permainan dan Sang Kenari berjaya mencuri tiga mata sekaligus memadam defisit tiga mata yang ditolak ekoran masalah kewangan yang melanda kelab musim lalu.

PDRM pula terpaksa menerima hakikat kelekaan pada awal permainan dihukum pasukan lawan dan kini perlu kembali ke papan putih untuk persediaan menghadapi perlawanan kedua minggu hadapan.