OLEH : MOHD FARIQ
HARI ini genap empat tahun selepas Datuk Hamidin Mohd Amin diangkat menjadi Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada Kongres FAM ke-54 di Petaling Jaya.
Sejurus selepas sidang akhbar mengulas pemilihannya, Hamidin bersama satu delegasi berlepas ke Surabaya menaiki pesawat khas yang diuruskan oleh seorang sahabat beliau bagi menyaksikan kejohanan Bawah 19 tahun AFF. Ketibaannya tepat pada waktu, hanya beberapa jam sebelum anak buah Bojan Hodak menumpaskan Myanmar 4-3 pada final di Stadium Delta Sidoarjo.
Dalam bola sepak, ketepatan waktu itu adalah kunci segala-galanya.
Keputusan Hamidin untuk ke Surabaya sejurus selepas sidang akhbar pemilihannya untuk mengisi kerusi panas itu susulan peletakan jawatan Tunku Ismail Sultan Ibrahim empat bulan terdahulu dilihat tepat pada waktunya. Pada hari pertama selaku presiden, skuad Bawah 19 tahun menjulang gelaran.
Secara kebetulan, semalam skuad Bawah 19 negara yang dikendalikan oleh Hassan Sazali Waras, mara ke final edisi 2022 sesudah mengejutkan Vietnam 3-0.
Tentunya ia hadiah tepat bagi meraikan ulang tahun keempat Hamidin sebagai presiden badan induk sukan yang paling mudah dikecam.
Dua tahun pertama Hamidin dilihat sarat dan padat dengan pelbagai idea dan program baharu dalam mewujudkan ekosistem yang lestari, sejajar fasa pertama pelan strategik yang terkandung dalam Peta Hala Tuju FAM yang dikenali sebagai F:30.
Beberapa tindakan strategik FAM termasuk melancarkan F:30 untuk menceritakan perancangan tiga fasa mengikut kitaran empat tahun, melancarkan inisiatif bertujuan memperkasakan ahli gabungan menerusi Projek Pemerkasaan Ahli Gabungan atau Affiliates’ Capacity Enhancement (ACE) Project serta melancarkan Piagam Akar Umbi yang dinamakan Suparimau dengan merangka proses pentauliahan kepada akademi dan kelab rekreasi swasta di peringkat akar umbi.
FAM turut melancarkan DNA Bola Sepak Malaysia atau Gaya Malaysia sebagai rujukan untuk semua pihak memahami corak permainan mengikut acuan tempatan sebagai satu manifestasi falsafah bola sepak negara yang turut merangkumi sistem kejurulatihan yang seragam merentasi semua peringkat umur.
Hamidin turut memeterai perjanjian persefahaman dengan Persatuan Bolasepak Jepun (JFA) untuk membina kerjasama dua hala dari aspek persiapan pasukan kebangsaan, penambahbaikan pembangunan bola sepak wanita, pembangunan pengadil dan futsal.
Beliau turut membina semula kerjasama rapat dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) yang dikendalikan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dengan struktur hirarki bermula dari jawatankuasa teknikal, jawatankuasa kerja hingga jawatankuasa pemandu yang dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan.
Sayangnya pandemik COVID-19 membantutkan banyak perancangan FAM.
Program latihan dan aktiviti-aktiviti membangunkan bola sepak di semua peringkat tergendala.
Kemuncak keresahan peminat terjadi apabila kegagalan di pentas pra-Piala Dunia di UAE disusuli kegagalan di Piala AFF Suzuki di Singapura menoktahkan kerjaya Tan Cheng Hoe selaku ketua jurulatih pasukan kebangsaan.
Di sini keberanian Hamidin menongkah arus membawa hasil.
Dikecam gara-gara kegagalan melepasi peringkat kumpulan di Piala AFF, Hamidin mengadakan interviu dengan beberapa calon jurulatih asing. Beliau nekad menggunakan kepakaran asing, biar apapun hasil bedah siasat badan bebas yang diketuai oleh bekas setiausaha agung FAM, Datuk Dell Akbar Khan.
Akhirnya Kim Pan Gon diperkenalkan sebagai jurulatih pertama dari Asia untuk dilantik mengisi kerusi panas yang lazimnya diisi oleh jurulatih dari Eropah.
Walaupun dikritik netizen dari segenap penjuru termasuk kata-kata kesat, Hamidin kekal tenang dan membuktikan keputusan dibuatnya di landasan tepat.
Uniknya, beliau tidak menolak mentah-mentah buah fikiran dan pandangan dilontar para peminat yang sudah tentu dagahakan siri kejuaraan dan pernah mengadakan sesi minum kopi bersama Capo Ultras Malaya, Lekir di ibu kota semasa bulan Ramadan.
Yang lain sudah menjadi sejarah. Setidak-tidaknya kejayaan skuad kebangsaan layak ke pusingan akhir Piala Asia AFC 2023 selepas 42 tahun secara merit, membuktikan bahawa Hamidin berani untuk membawa perubahan.
Sebagaimana yang kerap beliau tekankan kepada penulis: “Setiap hari ada proses pembelajaran bagi saya dalam pengurusan bola sepak. Tidak ada penghujungnya.”
Lumrah manusia, tiada yang sempurna dan setiap orang pasti ada kesilapan yang pernah mereka lakukan, begitulah juga Hamidin.
Ada sebahagian perkara mungkin beliau tidak tahu dan terlepas pandang, namun sikap Hamidin merendah diri dan belajar dari kesilapan tersebut supaya tidak mengulanginya wajar dipuji semua pihak termasuk kawan dan lawannya.
Hamidin gemar memberitahu rakan-rakan rapat bahawa beliau tidak pernah termimpi menjadi Presiden FAM. Paling tinggi barangkali jawatan setiausaha agung yang beliau isi dari 2013 hingga 2018.
Rupa-rupanya takdir menentukan beliau menduduki kerusi empuk yang lazimnya dikhaskan untuk Perdana Menteri, Menteri Kabinet dan kerabat diraja.