PENGURUS Pasukan B-19 Kebangsaan, Mohd Joehari Ayub lega dan bersyukur kejayaan semua pemain serta barisan kejurulatihan dan pegawai pasukan mara ke Final Kejuaraan B-19 AFF 2022.

Menurutnya, pemain telah bermain dengan penuh kesungguhan, mempamerkan disiplin tinggi serta mengikut taktikal yang dirancang oleh barisan kejurulatihan.

“Alhamdulillah, pasukan berjaya menewaskan pasukan pilihan kejohanan iaitu Vietnam dengan jaringan 3-0. Tahniah sekali lagi kepada semua,” katanya pada Khamis.

Mohd Joehari turut mengucapkan terima kasih kepada Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin serta kepimpinan tertinggi FAM atas peluang dan tanggungjawab yang telah diberikan ini.

Mohd Joehari Ayub

“Terima kasih kepada semua pemilik dan presiden kelab serta pasukan dalam Liga Malaysia yang sentiasa memberi sokongan dan kerjasama melepaskan pemain-pemain muda terbaik mereka untuk menyertai Kejuaraan B-19 AFF 2022 ini biarpun ia di luar kalendar perlawanan antarabangsa FIFA.

“Tidak lupa juga kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang sentiasa memberi sokongan kepada bola sepak negara.

“Kami masih ada lagi satu misi yang perlu diselesaikan pada aksi final menentang Laos pada Jumaat (esok).

“Berkat sokongan dan doa rakyat Malaysia, insya-Allah ia akan mengiringi kejayaan pasukan ini. Demi Malaysia! Demi lencana di dada! ,” ujarnya lagi.